JOHOR BAHRU – Kenyataan Pemuda UMNO Johor, Datuk Noor Azleen Ambrose bahawa Barisan Nasional (BN) membantu Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram tidak tepat kerana tidak selari dengan data yang ada.
Pengarah Pilihan Raya Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Jalex Lee En Xiang berkata, kenyataan dikeluarkan Pemuda UMNO Johor itu didakwa dikeluarkan tanpa fakta dan angka yang kukuh.
Exco AMK Pusat itu memberi contoh, semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022, Pakatan Harapan (PH) menang dengan 14,640 undi manakala BN (6,953) dan Perikatan Nasional (PN) (2,136).
“Sementara semasa PRK Simpang Jeram pada 2023 PH (13,844) dan PN (10,330). Majoriti menurun daripada 7,687 kepada 3,514 undi.
“Keputusan ini menunjukkan undi PH kekal dan undi PN lebih dengan gabungan undi PN dan BN pada PRN 2022. Majoriti menurun daripada 7,687 kepada 3,514.
“Keputusan ini menunjukkan undi PH kekal dan undi PN lebih dengan gabungan undi PN dan BN pada PRN tahun 2022,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, dalam PRN Johor pada 2022 PH (55,447) BN (26,523) dan PN (4,332) sementara semasa PRK Pulai pada 2023 PH (48,283) dan PN (29,642), sekali gus majoriti menurun daripada 28,924 kepada 18,641 undi.
Keputusan itu katanya, menunjukkan undi PH memang menurun dan undi PN hampir sama dengan gabungan undi PN dan BN pada pilihan raya umum (PRU) pada 2022.
“Daripada angka-angka ini, kesimpulannya cukup jelas. Dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram, tidak terdapat bukti bahawa PH memperoleh bantuan BN.
“Sebaliknya, keputusan PRK Mahkota menunjukkan pola yang lebih jelas bahawa penyokong PH telah memainkan peranan penting dalam membantu calon BN menambah majoriti serta jumlah undi,” katanya.
Dalam PRN Johor pada 2022 katanya, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota BN (16,611) manakala PH (11,445) sementara pada PRK Mahkota pada 2024 BN (27,995).
“Majoriti meningkat daripada 5,166 kepada 20,648. Keputusan ini menunjukkan undi BN meningkat dengan banyak dan hampir sama dengan gabungan undi BN dan PH pada PRN tahun 2022,” ujarnya.
Semalam, Pemuda UMNO Johor mengingatkan bahawa DAP pernah meminta bantuan BN semasa berkempen dalam PRK di Pulai dan Simpang Jeram pada September 2023.
Noor Azleen dilaporkan berkata, peringatan itu dibuat selepas DAP Johor mengungkit semula BN pernah meminta bantuan DAP dalam PRK Mahkota.
Ahad lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika berucap dalam pelancaran jentera BN Johor menegaskan, beliau enggan memegang jawatan Menteri Besar Johor sekiranya perlu bekerjasama dengan DAP jika menang dalam PRN akan datang.
Susulan itu, Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Baghraib Ali menyifatkan kenyataan Onn Hafiz berkenaan DAP sebagai angkuh malah mendakwa Menteri Besar Johor itu pernah merayu bantuan DAP untuk berkempen memenangkan calon BN di PRK Mahkota.- MalaysiaGazette
















