Partiben

KUALA LUMPUR – Rakaman kamera papan pemuka atau dashcam kini semakin mendapat pengiktirafan sebagai antara bukti digital paling penting dalam prosiding mahkamah.

Ia khususnya melibatkan kes kemalangan jalan raya, langgar lari, buli jalan raya dan pelbagai kes jenayah lain.

Peguam, M. Partiben mendedahkan, perkembangan teknologi telah mengubah landskap pembuktian apabila rakaman video mampu memaparkan keadaan sebenar sesuatu kejadian secara langsung tanpa dipengaruhi emosi, persepsi atau kelemahan ingatan manusia.

Menurutnya, dashcam kini boleh dianggap sebagai CCTV bergerak yang sentiasa merakam setiap detik penting sebelum, semasa dan selepas sesuatu insiden berlaku.

“Rakaman dashcam bukan lagi sekadar bahan sokongan. Dalam banyak keadaan, ia menjadi bukti yang membantu pihak berkuasa membina semula kronologi kejadian dengan lebih tepat dan jelas.

“Ia memberikan gambaran yang sukar dipertikaikan kerana kejadian dirakam secara langsung pada waktu insiden berlaku,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Partiben berkata, mahkamah boleh menerima rakaman dashcam sebagai bahan bukti utama sekiranya ia memenuhi syarat ketulenan, relevan dengan kes serta tidak mengalami sebarang pengubahsuaian.

Menurutnya, rakaman yang jelas dan berkualiti tinggi mampu mengukuhkan hujahan pihak pendakwaan mahupun pembelaan.

Beliau berkata, antara kes yang paling kerap mendapat manfaat daripada penggunaan dashcam ialah kes langgar lari di bawah Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan.

“Melalui rakaman dashcam, nombor pendaftaran kenderaan, wajah pemandu, masa kejadian dan arah pergerakan boleh dikenal pasti dengan lebih pantas.

“Ini membantu mempercepatkan siasatan serta proses mengesan suspek yang melarikan diri selepas kemalangan,” katanya lagi.

Partiben turut menjelaskan rakaman dashcam kini semakin penting dalam kes buli jalan raya dan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Katanya, rakaman video sering berjaya merakam tindakan agresif, perbuatan menghalang kenderaan serta kata-kata berunsur ancaman yang boleh digunakan sebagai bukti langsung di mahkamah.

“Rakaman seperti ini sangat membantu kerana mahkamah tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada keterangan saksi yang mungkin mempunyai tafsiran berbeza mengenai kejadian.

“Setiap percakapan dan tindakan boleh dilihat serta didengar secara terus menerusi rakaman tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata, dashcam juga membantu dalam kes samun, ragut dan jenayah jalanan apabila mod keselamatan atau rakaman parkir berjaya merakam pergerakan suspek serta kenderaan yang digunakan.

Malah rakaman dashcam boleh menjadi alibi penting kepada individu yang dituduh melakukan sesuatu kesalahan apabila data masa dan lokasi membuktikan mereka berada di tempat lain ketika kejadian berlaku.

Dalam kes melibatkan kehilangan individu atau penculikan pula, rakaman dashcam mampu membantu pihak berkuasa mengesan laluan pergerakan kenderaan suspek serta membina semula kronologi kejadian.

Bagaimanapun, Partiben menegaskan rakaman dashcam bukan bukti muktamad yang secara automatik menentukan keputusan sesuatu kes.

“Mahkamah tetap akan menilai keseluruhan bukti termasuk laporan polis, keterangan saksi, laporan forensik dan keadaan sebenar semasa kejadian.

“Dashcam adalah bukti yang sangat kuat tetapi ia bukan satu-satunya faktor yang menentukan keputusan mahkamah,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast