Saifuddin dalam sidang akhbar selepas Program Citra Negara, Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat, hari in.

BATU PAHAT – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti keperluan menyediakan kemudahan khas bagi memudahkan pengundi di Johor yang bekerja di Singapura pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini termasuk kemungkinan membuka laluan khas di pintu masuk laluan darat.

“Perkara ininakan dibincangkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat pada 12 Jun ini. KDN bersama-sama Jabatan Imigresen serta agensi berkaitan akan memberi respons segera berdasarkan ketetapan SPR termasuk daripada segi pengurusan aliran keluar masuk sempadan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Citra Negara, Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Batu Pahat hari ini.

Dianggarkan terdapat kira-kira 400,000 hingga 480,000 rakyat Malaysia yang berulang alik setiap hari merentasi Tambak Johor dan Linkedua untuk bekerja di Singapura.

Sebahagian besar daripada pekerja rentas sempadan ini berulang-alik menaiki motosikal melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

Saifuddin berkata, jika hari mengundi jatuh pada Ahad, kesesakan dijangka berbeza kerana aliran masuk dari Singapura lebih tinggi ke Malaysia.

“Sebab hari Ahad maknanya rakyat Singapura yang berbondong masuk sebelah kita berbanding kita ke sana. Namun jika pada Sabtu, ia mungkin memberi cabaran kepada mereka yang masih bekerja,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast