vantHealth dan Monash University Malaysia terus memperkasa kesedaran demensia melalui program MINDSPARK yang menghimpunkan pelajar, akademik dan industri ke arah pembinaan masyarakat lebih inklusif dan prihatin terhadap kesihatan otak.

KUALA LUMPUR – Usaha memperluaskan kesedaran mengenai penyakit demensia dalam kalangan masyarakat terus diperkukuhkan menerusi penganjuran Grand Finale MINDSPARK bertemakan Igniting a Dementia-Inclusive Future.

Program berkenaan menghimpunkan pelajar, ahli akademik, pemain industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha meningkatkan kefahaman selain menggalakkan pembentukan komuniti yang lebih inklusif terhadap individu yang hidup dengan penyakit berkenaan.

Acara itu merupakan kemuncak kerjasama selama setahun antara AvantHealth dan Monash University Malaysia yang bermula dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) pada April 2025 sebelum pelancaran rasmi pertandingan MINDSPARK pada Jun tahun lalu.

Melalui inisiatif berkenaan, pasukan pelajar diberi peluang merangka dan melaksanakan projek komuniti berkaitan demensia dengan dana permulaan sebanyak RM6,000 yang disediakan oleh AvantHealth.

Penganjur program, Dr. Dinesh Sangarran Ramachandram berkata, peserta menunjukkan peningkatan ketara dalam tahap pengetahuan mengenai demensia berdasarkan penilaian sebelum dan selepas program dijalankan.

“Kejayaan program itu turut dibuktikan menerusi penglibatan semakin banyak universiti, NGO dan organisasi komuniti dalam memperluaskan kesedaran mengenai penyakit berkenaan.

“Kami berhasrat memperluaskan program ini ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak bagi membina ekosistem kesedaran demensia yang inklusif dan mampan.

“Melalui kerjasama institusi akademik, industri, NGO dan golongan belia, perubahan sosial yang bermakna mampu dicapai apabila semua pihak berganding bahu,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Saintifik AvantHealth, Profesor Emeritus Yuen Kah Hay berkata, jumlah penghidap demensia di Malaysia menunjukkan peningkatan setiap tahun termasuk melibatkan pesakit seawal usia 16 tahun.

“Program seperti ini amat penting bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, malah memberi pendedahan mengenai kepentingan perubahan gaya hidup dalam mencegah penyakit ini selain membantu penjagaan pesakit demensia,” jelasnya.

Kemuncak program menyaksikan tiga pasukan finalis membentangkan impak dan hasil pelaksanaan projek masing-masing sepanjang tempoh enam bulan.

Projek yang diketengahkan memberi fokus kepada peningkatan kesedaran mengenai demensia, pengukuhan keterangkuman sosial, sokongan kepada penjaga pesakit serta penglibatan komuniti.

Selepas sesi penilaian akhir, pasukan Synap5e of Memory dinobatkan sebagai juara MINDSPARK dan menerima dana pembangunan bernilai RM10,000 bagi memperluaskan inisiatif mereka dalam komuniti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast