Khiril Nizam Khirudin.

KUALA LUMPUR – Keputusan Pas untuk memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah muktamad, jelas dan dicapai secara sebulat suara, demikian menurut Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ir Khiril Nizam Khirudin.

Beliau menolak dakwaan kononnya wujud ‘dua suara’ atau percanggahan pendapat berhubung keputusan yang dibuat secara kolektif.

“Mesyuarat yang berlangsung malam tadi bukan sahaja dihadiri oleh majoriti saf kepimpinan tertinggi parti, malah menyaksikan kesepakatan jitu tanpa sebarang bantahan daripada mana-mana pihak.

“Dalam mesyuarat itu, semua yang hadir bersetuju dengan ketetapan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu. Tidak wujud langsung isu ada yang tidak bersetuju,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Penjelasan tegas itu sekali gus menepis spekulasi sebelum ini yang mendakwa kononnya keputusan tertinggi Pas itu dibuat dalam keadaan ‘tempang’ dan tidak mendapat restu penuh parti itu.

Mengulas lanjut, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Jerantut berkata, cubaan untuk menggambarkan kononnya Pas kini sedang berdepan pergolakan dalaman sebagai satu agenda yang tersasar daripada realiti sebenar meja rundingan malam tadi.

“Setiap pandangan telah diteliti namun apabila keputusan konsensus dicapai, seluruh saf kepimpinan berdiri teguh di belakang ketetapan parti demi mencorakkan hala tuju baharu politik kami,” katanya.

Dengan penjelasan ini, teka-teki mengenai status setia kawan antara Pas dan Bersatu akhirnya terjawab, meninggalkan persoalan besar tentang bagaimana masa depan pakatan pembangkang akan dibentuk menjelang landskap politik yang semakin dinamik.

Terdahulu, Pas secara rasmi memutuskan untuk menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan Bersatu dan perkara itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat malam tadi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Keputusan Pas ‘cerai’ Bersatu tak dipersetujui sebulat suara?

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast