KUALA LUMPUR – Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nabil Halimi mencabar Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh supaya berhenti memainkan politik ugutan pada setiap masa.
Sebaliknya, beliau mendesak Dr Muhamad Akmal membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat jika benar UMNO sudah hilang keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Beliau mengulas kenyataan Dr Muhamad Akmal yang mencabar Anwar menggugurkan semua Ahli Parlimen UMNO daripada kerajaan sekiranya Barisan Nasional (BN) dianggap tidak mempunyai peranan dalam pentadbiran negara.
Menurut Nabil, kenyataan Ketua AMK, Kamil Munim sebelum ini sudah cukup jelas bahawa pembentukan Kerajaan Perpaduan bukan hanya melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan BN.
Sebaliknya, kata beliau, ia turut disertai Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan serta beberapa Ahli Parlimen Bebas.
Katanya, gabungan tersebut dibentuk susulan titah Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memastikan kestabilan politik negara.
“Beginilah Akmal, apa yang dinyatakan oleh Saudara Kamil Munim jelas bahawa PH sebagai gabungan terbesar bukan meminang BN sahaja, tetapi termasuk juga GRS, GPS, Warisan dan Ahli Parlimen Bebas atas titah Yang di-Pertuan Agong dalam membentuk kerajaan yang stabil.
“Saya hairan mengapa Akmal gagal faham. Lupa atau sengaja buat tidak faham kerana dia memang parasit dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Nabil berkata, sekiranya UMNO benar-benar berasakan parti itu tidak dihargai, tidak mempunyai peranan dalam kerajaan dan sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Anwar, maka tindakan yang lebih berprinsip perlu diambil.
“Akmal tidak perlu mengugut PMX untuk buang semua Ahli Parlimen UMNO sekarang.
“Jika UMNO sudah merasakan tidak dihargai, tiada hati dalam Kerajaan Perpaduan serta tidak percaya kepada kepimpinan PMX, saya mencabar seluruh Ahli Parlimen UMNO sendiri mengusulkan undi tidak percaya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat yang akan bersidang.
“Amacam, boleh?” soalnya.
Beliau berkata, Dewan Rakyat merupakan platform paling sesuai untuk menguji sama ada seseorang Perdana Menteri masih mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen atau sebaliknya.
Menurutnya, tindakan terus mengeluarkan kenyataan berbaur ancaman tanpa disusuli tindakan politik yang jelas hanya akan mengundang persepsi bahawa ia sekadar retorik politik.
Nabil turut menyifatkan Dr Muhamad Akmal sebagai gemar menggunakan pendekatan ugutan politik berbanding menampilkan pendirian yang tegas melalui saluran demokrasi yang tersedia.
“Kalau tidak, teruskan sahaja menjadi ikon kaki ugut negara seperti budak mengamuk tidak mendapat mainan,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















