Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

KUALA LUMPUR – Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis berjalan seperti biasa sehingga Perikatan Nasional (PN) Pusat membuat keputusan.

Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, meskipun Pas memiliki majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun parti itu tetap menyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Keutamaan kita ialah kebajikan rakyat, cakna kepada rakyat, rakyat adalah keutamaan kami.

“Walau apa pun kemelut politik yang berlaku, usaha untuk membantu rakyat, kebajikan rakyat akan berterusan insya-Allah,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.

Shahidan yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas III Perlis menjawab persoalan berkenaan kedudukan kerajaan negeri susulan keputusan Pas Pusat menamatkan kerjasama dengan Bersatu.

Krisis politik di Perlis sebelum ini yang menyaksikan Menteri Besar Pas digantikan oleh Bersatu merupakan antara punca yang menyumbang kepada persengketaan antara Pas-Bersatu.

Bagaimanapun, Shahidan sebelum ini memberi jaminan tidak ada usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia susulan titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sempena majlis perasmian penggal persidangan DUN Perlis ke-15 yang mahu Abu Bakar kekal sehingga akhir penggal.

Ahli Parlimen Arau itu berkata, pihaknya tiada masalah dengan titah berkenaan dan menyerahkan sebarang hala tuju kepimpinan negeri kepada pucuk pimpinan pusat. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast