Tangkap layar video tular kejadian cabul melibatkan seorang wanita di Setia Alam.

SHAH ALAM – Polis sedang giat menjejaki seorang lelaki yang dipercayai mencabul seorang wanita yang sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumahnya di Setia Alam di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Sarudin Samah berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa yang berusia awal 20-an pada 9.06 malam.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira 7.10 petang ketika mangsa berjalan kaki seorang diri pulang dari tempat kerja melalui sebuah lorong sunyi di kawasan perumahan berkenaan.

“Secara tiba-tiba, mangsa telah diserang dari arah belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali yang memakai baju merah dan berseluar hitam. Suspek bertindak memeluk serta menutup mulut mangsa sebelum mencium dan merabanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarudin berkata suspek kemudiannya melarikan diri dan mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dalam kejadian itu.

Beliau berkata polis kini sedang menjalankan usaha mengesan dan menangkap suspek serta kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Muhammad Zamri Abdul Rahman menerusi talian 011-16652402 atau terus ke mana-mana balai polis berhampiran. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast