Gerald Tang memberikan kursus pilihan raya sebagai persiapan awal dan langkah siaga menghadapi PRN tidak lama lagi di Pasir Gudang

PASIR GUDANG – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pasir Gudang tidak bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas dan Johor Jaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Ketua PKR Cabang Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, gerak kerja dan bantuan akan diberikan sepenuhnya untuk membantu calon-calon Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding di dua DUN berkenaan.

“Menjadi tanggungjawab kami untuk bersama-sama membantu dan menguatkan jentera rakan komponen PH di Pasir Gudang demi memastikan perjuangan membawa harapan kepada rakyat terus diperkasakan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bagi memantapkan jentera PKR yang akan turun padang, pihaknya menjemput Pembantu Pejabat Timbalan Presiden Keadilan, Gerald Tang untuk membantu mempersiapkan jentera.

Katanya, Gerald didatangkan khas untuk mengendalikan kursus pilihan raya sebagai persiapan awal dan langkah siaga menghadapi PRN tidak lama lagi.

“Kehadiran pada sesi pertama ini amat memberangsangkan. Semangat yang ditunjukkan oleh para peserta membuktikan bahawa tekad untuk berkhidmat kepada rakyat masih utuh dan semakin membara.

“Mungkin ada yang berkata kami terlalu banyak berpolitik. Namun sebagai Ketua Cabang PKR Pasir Gudang, saya ingin menegaskan perjuangan politik bagi kami bukan sekadar soal pilihan raya tetapi adalah wadah untuk membela rakyat,” katanya.

Tambahnya, kerja-kerja kebajikan, membantu masyarakat, menyantuni warga yang memerlukan serta menjaga kebajikan rakyat Pasir Gudang yang dilaksanakan sejak sekian lama tidak akan sesekali diabaikan.

“Insya-Allah, selagi diberikan amanah dan kesempatan, rakyat Pasir Gudang akan sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast