Norliza (dua dari kanan) menyerahkan replika kad Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 kepada salah seorang pelajar.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)  terus memperkukuh komitmennya menyokong agenda pemerkasaan pendidikan tinggi negara menerusi pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500 kepada setiap pelajar baharu yang layak.

Kemudahan disediakan bagi membantu menampung sebahagian kos persediaan awal kemasukan ke Universiti Awam (UA) dan Politeknik sekali gus meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh keluarga.

Inisiatif ini juga mencerminkan keprihatinan PTPTN dalam memastikan pelajar dapat memulakan pengajian mereka dalam keadaan yang lebih bersedia, teratur dan selesa, katanya dalam kenyataan.

“WPP diberikan kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima WPP semasa membuat permohonan kemasukan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan UA. Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar juga merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan,” kata kenyataan itu.

Pengerusi PTPTN turun padang menyantuni salah seorang pelajar yang menerima WPP semasa sesi ziarah rumah ke rumah pelajar di Pulau Pinang.

Semenjak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 30 April 2026, seramai 999,838 orang pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.48 bilion.

Penawaran WPP akan memberi manfaat kepada seramai 40,099 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat Diploma di UA dan Politeknik bagi kemasukan sesi Jun 2026 melibatkan peruntukan berjumlah RM60.1 juta.

Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan boleh menunaikan WPP tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 10 Jun 2026 (Rabu) dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan).

Tempoh sah laku WPP adalah selama dua (2) bulan bermula 10 Jun 2026 (Rabu) hingga 9 Ogos 2026 (Ahad).

Penerima WPP (kanan) bergambar bersama YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (dua dari kanan) ketika sesi ziarah di rumah pelajar.

Hari ini, PTPTN menyantuni pelajar yang ditawarkan WPP melalui sesi ziarah ke rumah pelajar oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim di kawasan Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Turut serta Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.

Semasa sesi ziarah, beliau telah menyampaikan surat tawaran WPP kepada pelajar yang layak.

Norliza berkata, PTPTN sentiasa komited untuk memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.

“Inisiatif pemberian WPP PTPTN ini adalah untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar baharu memasuki UA dan Politeknik,” katanya.

Untuk makluman, pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap UA dan Politeknik untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.

Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN.

Para pelajar boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UA dan Politeknik masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.

Maklumat lanjut berkenaan WPP PTPTN dan pinjaman PTPTN juga boleh diperoleh melalui aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast