Poster Team Raja

KUALA LUMPUR – Menjelang pemilihan Kuala Lumpur & Selangor Indian Chamber of Commerce and Industry (KLSICCI) pada 14 Jun ini, calon Presiden, VKK Rajasekaran tampil dengan pendekatan sedikit berbeza apabila mempertaruhkan barisan calon daripada pelbagai latar belakang industri di bawah panji Team Raja.

Membawa slogan ‘From Legacy to Leverage’, Rajasekaran berkata, pasukannya dibentuk bagi mencerminkan realiti semasa komuniti perniagaan India yang kini merangkumi pelbagai sektor ekonomi dan tidak lagi tertumpu kepada industri tradisional semata-mata.

Menurut beliau, cabaran yang dihadapi ahli KLSICCI hari ini jauh lebih kompleks berbanding dua dekad lalu apabila teknologi, digitalisasi, perubahan pasaran dan persaingan global memberi kesan kepada hampir setiap sektor perniagaan.

Justeru katanya, KLSICCI memerlukan barisan kepimpinan yang memahami keperluan pelbagai industri serta mampu membawa perspektif yang lebih luas dalam merangka hala tuju organisasi.

“Kita tidak boleh melihat keperluan ahli daripada satu sudut sahaja. Cabaran yang dihadapi sektor pembinaan berbeza dengan sektor pelancongan.

“Keperluan syarikat teknologi pula berbeza dengan syarikat logistik atau peruncitan.

“Sebab itu saya percaya KLSICCI perlu dipimpin oleh pasukan yang mempunyai pengalaman merentasi pelbagai sektor perniagaan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Calon Presiden KLSICCI 2026-2028, VKK Rajasekaran

Bercakap mengenai pasukan yang dibawanya, Rajasekaran berkata, Team Raja menghimpunkan tokoh korporat dan usahawan daripada pelbagai bidang termasuk hartanah, pelancongan dan hospitaliti, tenaga mampan, logistik, penjagaan kesihatan, pembinaan, teknologi, pendidikan kemahiran serta pembuatan.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, beliau mempertaruhkan Panir Selvam Chandrasegaran yang mempunyai pengalaman dalam industri logam dan kitar semula, manakala Dr Chitra Devi S Balakrishnan yang aktif dalam sektor pelancongan dan hospitaliti dicalonkan bagi jawatan Naib Presiden.

Turut berada dalam barisan utama pasukan itu ialah Dr Ir T Praba bagi jawatan Bendahari Kehormat yang mempunyai latar belakang dalam bidang kejuruteraan dan tenaga mampan.

Menurut Rajasekaran, kepelbagaian pengalaman yang dibawa oleh pasukan tersebut mampu membantu KLSICCI memahami isu yang dihadapi ahli dengan lebih mendalam dan menyeluruh.

Beliau berkata, ramai ahli berdepan cabaran berbeza bergantung kepada sektor masing-masing termasuk soal pembiayaan, tenaga kerja, pematuhan peraturan, digitalisasi, akses pasaran dan peluang perniagaan.

“Kita mahu memastikan setiap sektor mempunyai suara dalam KLSICCI. Organisasi ini perlu menjadi rumah kepada semua usahawan tanpa mengira bidang yang mereka ceburi.

“Apabila kita mempunyai wakil daripada pelbagai industri, kita dapat memahami keperluan sebenar ahli dan mencari penyelesaian yang lebih praktikal,” ujarnya.

Rajasekaran turut melihat kemunculan generasi baharu usahawan India sebagai perkembangan positif yang perlu diberikan perhatian oleh KLSICCI.

Menurutnya, semakin ramai anak muda India kini menceburi bidang teknologi, e-dagang, kecerdasan buatan (AI), logistik, perkhidmatan profesional dan sektor berasaskan pengetahuan yang memerlukan pendekatan berbeza berbanding generasi terdahulu.

Katanya, KLSICCI perlu bergerak seiring dengan perubahan tersebut jika mahu terus kekal relevan dan menjadi pilihan usahawan generasi baharu.

“Kita mempunyai usahawan berpengalaman yang telah membina perniagaan selama puluhan tahun dan kita juga mempunyai generasi baharu yang membawa idea serta inovasi segar.

“KLSICCI perlu menjadi platform yang menyatukan kedua-dua kelompok ini supaya pengalaman dan inovasi dapat berkembang bersama,” katanya.

Rajasekaran berkata, Team Raja bukan sekadar dibentuk untuk menghadapi pemilihan kali ini, sebaliknya sebagai sebuah pasukan yang berkongsi visi sama untuk mengembalikan peranan KLSICCI sebagai organisasi perniagaan yang berpengaruh dan dihormati.

Beliau percaya kekuatan sesebuah organisasi bukan terletak kepada individu semata-mata, tetapi kepada kemampuan pasukan untuk bekerjasama dan membawa idea yang mampu memberi manfaat kepada ahli.

Pemilihan kepimpinan baharu KLSICCI bagi penggal 2026-2028 dijadual berlangsung pada 14 Jun ini bagi memilih Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Bendahari Kehormat serta Ahli Jawatankuasa Eksekutif yang akan menerajui dewan perdagangan berusia hampir satu abad itu.

Ditubuhkan pada 1928, KLSICCI merupakan antara organisasi perniagaan India tertua di negara ini dan memainkan peranan penting dalam memperjuangkan kepentingan komuniti usahawan khususnya di Kuala Lumpur dan Selangor.

“Kita mempunyai legasi yang kuat dan sejarah yang membanggakan. Apa yang penting sekarang ialah bagaimana kita memanfaatkan kekuatan tersebut untuk membina masa depan yang lebih baik kepada ahli serta generasi usahawan yang akan datang,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast