Anak kepada bekas Menteri Kewangan, Asnida Abdul Daim hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar permohonan semakan terhadap syarat tambahan jaminan yang mewajibkan beliau menyerahkan pasport antarabangsa, ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 10 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan semakan yang difailkan Asnida Abdul Daim berhubung syarat tambahan jaminan yang menghendaki pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Hakim Datuk Nurulhuda Nuraini Mohamad Nor membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Asnida diwakili peguam Rajesh Nagarajan bersama Sachpreetraj Singh Sohanpal manakala pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip.

Dalam hujahnya, Rajesh berkata, anak kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu merupakan seorang individu persendirian dan tidak wajar disamakan dengan tokoh politik atau individu berprofil tinggi dalam kes-kes lain yang dirujuk di mahkamah.

Menurutnya, walaupun bapanya merupakan bekas Menteri Kewangan dan tokoh yang dikenali ramai, Asnida tidak terlibat dalam politik serta menjalani kehidupan sebagai orang awam.

“Beliau adalah seorang individu persendirian. Mungkin bapanya seorang tokoh berprofil tinggi, tetapi beliau bukan ahli politik dan kebanyakan rakyat Malaysia tidak mengenalinya secara peribadi.

“Apa yang diketahui ramai hanyalah beliau merupakan anak kepada Allahyarham Tun Daim,” hujah beliau.

Peguam, Rajesh Nagarajan hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi pendengaran permohonan semakan berkaitan kes yang anak kepada bekas Menteri Kewangan, Asnida Abdul Daim, ketika di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 10 JUN 2026.

Rajesh turut berhujah kes-kes yang dirujuk tidak boleh dibandingkan dengan permohonan semasa kerana ia melibatkan keadaan yang berbeza.

Katanya, kes-kes berkenaan hanya membabitkan permohonan untuk mendapatkan pasport secara sementara, sedangkan permohonan Asnida mencabar asas keputusan untuk menahan pasportnya sejak awal sebagai syarat tambahan jaminan.

Beliau berkata alasan yang kukuh perlu diberikan sebelum hak seseorang untuk memegang pasportnya sendiri dihadkan dan tindakan sedemikian tidak boleh dipertahankan hanya selepas keputusan dibuat.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Nurulhuda berkata, mahkamah berpendapat tidak terdapat merit untuk pasport Asnida terus ditahan oleh mahkamah.

Menurut beliau, dakwaan bahawa wujud risiko tertuduh melarikan diri juga tidak dibuktikan sehingga boleh dijadikan alasan untuk mengekalkan pasport berkenaan dalam kawalan mahkamah.

“Mahkamah berpendapat tidak ada merit untuk tujuan pasport ditahan di mahkamah.

“Isu bahawa terdapat risiko melarikan diri juga tidak dibuktikan. Oleh itu, tidak ada justifikasi untuk mengaitkan isu itu sebagai alasan untuk pasport terus berada dalam kawalan mahkamah,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan semakan berkenaan dan mengarahkan perintah berkaitan disediakan sebelum pasport tersebut diserahkan semula mengikut prosedur ditetapkan.

Pada 7 April lalu, Asnida mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengisytiharkan harta.

Mahkamah Sesyen ketika itu membenarkan beliau diikat jamin, namun turut mengenakan syarat tambahan supaya pasportnya diserahkan kepada mahkamah sementara menunggu perbicaraan kes berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast