Gambar hiasan. Foto MALAYSIAGAZETTE.

KUALA LUMPUR – Seorang pembantu kedai makan didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas penguatkuasaan.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menjatuhi hukuman itu terhadap Muhammad Syarifuddin Abd Latif, 25, serta memerintahkan dia dipenjara sehari sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh kelihatan tenang sepanjang prosiding dan difahamkan telah menjelaskan denda yang dikenakan mahkamah.

Ketika prosiding, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman minimum dikenakan dengan alasan lelaki itu menanggung kedua-dua ibu bapanya.

Selain itu, mahkamah difahamkan tertuduh kesal dan sudah memohon maaf kepada anggota polis terbabit dan mahkamah atas perbuatannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal memohon hukuman yang setimpal supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Syarifuddin didakwa menggunakan perkataan kesat terhadap seorang anggota polis berusia dengan niat membangkitkan kemarahan di Jalan Dato’ Senu, Sentul pada jam 8.24 pagi tiga hari lepas.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni dilaporkan berkata, seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat serta merakam video anggota polis yang sedang menjalankan tugas penguatkuasaan.

Lelaki itu didakwa melakukan provokasi dan melontarkan kata-kata kesat kerana tidak berpuas hati selepas dikenakan saman. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast