KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menghubungi remaja 13 tahun yang didakwa menjadi mangsa rogol datuknya di Batu Pahat bagi menawarkan khidmat kaunseling.

Bagaimanapun Menterinya, Datuk Nancy Shukri berkata, pihaknya menghormati privasi mangsa dan keluarga sekiranya mereka tidak mahu diganggu pada masa ini.

“Kita perlu menyantuni mereka tetapi terpulang kepada mangsa, kadang-kadang mereka mahu privasi jadi kita menghormati (keputusan mereka),” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pejabat TAGS dan Pelancaran Sistem e-Tags di Menara Aras Raya, di sini hari ini.

Terdahulu katanya, KPWKM menyerahkan siasatan kes tersebut kepada pihak berkuasa.

Namun ujarnya, pihak kementerian juga akan menyiapkan laporan berkenaan kes itu untuk rujukan pihak mahkamah pada masa akan datang.

“Itu sudah jadi kes jenayah, maka kita serahkan kepada pihak berwajib.

“Apa pun juga yang melibatkan kes kanak-kanak kita akan membuat laporan kerana mahkamah juga akan merujuk kepada KPWKM,” tambahnya.

Semalam dilaporkan, seorang warga emas direman enam hari di Mahkamah Majistret  di Batu Pahat selepas cucunya yang berusia 13 tahun mendedahkan menjadi mangsa rogol lelaki terbabit sepanjang tahun lalu.

Polis menerima laporan kejadian itu dua hari lalu selepas mangsa menceritakan kepada ibunya.

Siasatan awal mendapati, mangsa tinggal bersama datuknya di sebuah rumah dalam daerah berkenaan selepas ibu bapanya bercerai.

Kejadian itu terbongkar selepas ibunya menyedari mangsa menghantar mesej kepada seorang kenalan.

Pada mulanya, mangsa tidak menceritakan namun selepas didesak akhirnya dia memberitahu dirogol datuk sendiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast