KUALA LUMPUR – Sebanyak 99 aduan difailkan kepada Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS) sejak penubuhannya pada 8 Mac 2024 hingga 7 Jun tahun ini.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, daripada jumlah itu, 80 aduan telah berjaya diselesaikan dalam tempoh 60 hari dari hari pertama pendengaran.

“Manakala, 19 aduan masih dalam proses pengurusan,” katanya ketika Majlis Perasmian Pejabat TAGS dan Pelancaran Sistem e-Tags di Menara Aras Raya, hari ini.

Katanya, TAGS menyediakan saluran alternatif kepada mahkamah sivil bagi mendengar dan memutuskan aduan gangguan seksual yang berlaku dalam negara.

Jelas beliau, penubuhan tribulan berkenaan merupakan langkah penting dalam usaha memperkukuhkan perlindungan terhadap mangsa gangguan seksual serta mewujudkan masyarakat yang lebih selamat dan bermaruah.

“Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan bahawa gangguan seksual merupakan isu hak, keselamatan, dan kesejahteraan masyarakat dan ia bukan sekadar gurauan atau isu peribadi.

“Justeru, Tribunal bagi Antigangguan Seksual atau dikenali sebagai TAGS telah ditubuhkan pada 8 Mac 2024 di bawah KPWKM, selaras dengan Seksyen 3 Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840),” tambah beliau.

Sebagai rekod, Akta 840 diwartakan pada 18 Oktober 2022 dan penguatkuasaan secara berperingkat bermula 28 Mac 2023 bagi peruntukan berkaitan pentadbiran dan kuasa membuat peraturan.

Tambah Nancy,  tribunal itu diharap akan berjaya memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa gangguan seksual bukanlah perkara remeh sebaliknya, ia perbuatan yang menjejaskan maruah, emosi, dan keselamatan individu.

“Kita ingin membentuk budaya sifar toleransi di tempat kerja, institusi pendidikan, mahupun ruang awam, dan memastikan setiap pihak

bertanggungjawab atas tindakan mereka tanpa mengira pangkat atau kedudukan,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast