KUANTAN – Tindakan pantas pihak bomba berjaya mengawal kebakaran melibatkan sisa buangan bahan berjadual di kawasan perindustrian di Gebeng, di sini daripada terus merebak pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, kejadian berlaku di kawasan berkeluasan 45,014.57 meter persegi yang menempatkan beberapa buah kilang.
Beliau berkata, bomba menerima laporan kejadian itu jam 6.29 pagi dan menugaskan sepasukan 44 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng, BBP Kuantan dan BBP Taman Tas ke lokasi untuk proses pemadaman.

“Maklumat awal yang diterima iaitu bahan terbakar adalah berunsur asid yang merebak melalui aliran air longkang.
“Kebakaran melibatkan sebuah kilang tempat penyimpanan bahan minyak RFO (waste) berkapasiti 200,000 liter dan Solvent (thinner) berkapasiti 10,000 liter yang musnah sepenuhnya.
“Selain itu, sebuah kilang kemasukan bahan mentah dan proses pencucian di premis sama turut terbakar 80 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lima lagi bangunan kilang dalam kawasan tersebut tidak terbakar dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut Mohd Razam, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya kira-kira jam 8.25 pagi, namun punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette
















