Poster yang tersebar di media sosial berkenaan kehadiran Abdul Hadi Awang untuk merasmikan Konvensyen Reset di Kelantan esok.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman mendedahkan dua `peristiwa penting’ melibatkan Pas akan berlaku esok.

Pertama, kata beliau, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerima undangan Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk merasmikan Konvensyen Reset di Kelantan.

Selain itu, ujarnya, dalam ceramah perdana di Seremban, Negeri Sembilan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan menerima kemasukan lebih 10 tokoh terdiri daripada profesional, korporat dan pentadbiran untuk menyertai Pas.

“Pada masa sama, sedang berlangsung mesyuarat agung PAS kawasan di seluruh negara, dengan ahli dan cawangan yang bertambah, PASTI dan SRITI yang dibuka, serta aktiviti kebajikan yang berterusan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Syahir Sulaiman

Terdahulu, tular poster yang memaparkan gambar Abdul Hadi yang akan menyampaikan ucapan perasmian pada program Konvensyen Reset Malaysia di Tanah Merah, Kelantan, esok.

Konvensyen bermula pukul 12.30 tengah hari itu turut dihadiri bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku penggerak Reset.

Kehadiran Abdul Hadi pada Konvensyen Reset itu sekali gus memperkuatkan lagi desas-desus Pas berhasrat membawa masuk parti baharu yang akan disertai Hamzah sebagai salah satu parti komponen PN.

Media sebelum ini melaporkan, PN yang kini dipimpin Pas sedang mempertimbangkan kerjasama dengan parti baharu yang dijangka ditubuhkan oleh Hamzah.

Sementara itu, Pas akan mengadakan Ceramah Umum Ambang Pilihanraya di Markas PAS Seremban bermula pukul 9.15 malam esok dengan kehadiran pemimpin-pemimpin utama parti tersebut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast