Logi Parti PEJUANG Tanah Air

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Negeri Sembilan mengumumkan kesediaannya untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai usaha membawa suara rakyat terus ke dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua Pejuang Negeri Sembilan, Norizan Ahmad berkata, penyertaan parti itu bukan sekadar untuk merancakkan persaingan politik sebaliknya satu langkah serius dan bertanggungjawab bagi memastikan perjuangan parti terus relevan.

Menurut beliau, Pejuang tidak mahu hanya berada di pinggir politik sebagai pemerhati atau penyokong kepada agenda pihak lain tanpa mempunyai kuasa untuk melaksanakan perubahan.

“Penyertaan Pejuang bukan sekadar untuk bertanding atau menambah warna dalam persaingan politik. Ia adalah tuntutan perjuangan agar Pejuang terus relevan, berperanan dan tidak hanya menjadi penyumbang sokongan di pinggir medan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norizan berkata, parti yang benar-benar mahu memperjuangkan nasib rakyat tidak boleh selamanya berada di luar gelanggang kuasa kerana mandat rakyat diperlukan untuk menggubal dasar dan membetulkan kelemahan pentadbiran.

Beliau berkata, sekiranya diberi mandat, Pejuang mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri bagi memastikan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, kebajikan rakyat serta masa depan golongan belia mendapat perhatian sewajarnya.

“Rakyat hari ini tidak lagi boleh diyakinkan dengan slogan kosong, ucapan berdegar-degar atau politik yang hanya hidup di hadapan kamera. Rakyat mahu pemimpin yang turun mendengar, berani bercakap benar dan sanggup memikul tanggungjawab apabila diberi amanah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, politik tidak seharusnya menjadi platform mencari populariti semata-mata, sebaliknya satu amanah untuk memastikan rakyat mendapat kehidupan yang lebih baik.

“Pejuang Negeri Sembilan bersedia masuk ke medan PRN dengan pendirian yang jelas. Kami tidak mahu menjadi penonton kepada masa depan negeri ini. Kami mahu membawa suara rakyat Negeri Sembilan ke dalam pentadbiran negeri dan menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada masalah rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast