Ketua Bersekutu Bersatu, Datuk R. Sri Sanjeevan

SEREMBAN – Kesiapsiagaan Perikatan Nasional (PN) dalam berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dipersoalkan apabila didakwa masih belum melantik pengerusi negeri sealin gagal mengadakan mesyuarat rasmi penyelarasan walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) telah dibubarkan.

Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia, Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan berkata, kelewatan berkenaan menimbulkan persoalan mengenai hala tuju dan kepimpinan PN di negeri itu ketika jentera parti sepatutnya sudah berada dalam mod pilihan raya.

Menurutnya, sebagai Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bertanggungjawab memastikan struktur kepimpinan negeri serta persiapan menghadapi pilihan raya dimuktamadkan lebih awal, bukannya selepas DUN dibubarkan.

“Sehingga hari ini PN Negeri Sembilan masih belum mempunyai pengerusi negeri dan belum mengadakan sebarang mesyuarat rasmi bagi menyelaraskan gerak kerja pilihan raya.

“Ini bukan lagi kelewatan biasa tetapi kecuaian kepimpinan yang serius. Perkara asas seperti struktur kepimpinan dan penyelarasan jentera sepatutnya diselesaikan sebelum negeri memasuki fasa pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan jentera di peringkat akar umbi terus menunggu arahan serta panduan yang jelas daripada kepimpinan gabungan berkenaan.

Katanya, sehingga kini tiada penyelarasan menyeluruh dilakukan bagi menghadapi pilihan raya, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai tahap kesiapsiagaan PN di Negeri Sembilan.

“Yang kedengaran hanyalah kesunyian. Tiada arahan, tiada penyelarasan dan tiada kepimpinan yang kelihatan.

“Kelewatan membuat keputusan bukan tanda berhati-hati. Ia adalah tanda kelekaan yang akhirnya akan dibayar mahal di peti undi,” katanya.

Sanjeevan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, keadaan itu menjadi lebih membimbangkan apabila PN masih belum memberikan penjelasan berhubung kedudukan gabungan tersebut.

katanya, ini susulan pengumuman Pas mengenai penamatan kerjasama politik dengan Bersatu.

Menurut beliau, isu berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan masa depan dan kelangsungan gabungan politik tersebut.

“Rakyat dan penyokong berhak mengetahui kedudukan sebenar PN. Berdiam diri bukan satu bentuk diplomasi, sebaliknya petanda bahawa tiada jawapan yang mampu diberikan terhadap persoalan yang sedang dibangkitkan.

“Tiada pengerusi negeri, tiada mesyuarat penyelarasan dan tiada penjelasan mengenai hala tuju gabungan. Ini bukan lagi kelemahan pentadbiran biasa tetapi kegagalan kepimpinan yang menyeluruh,” ujarnya.

Beliau berkata, kekosongan kepimpinan yang berpanjangan hanya akan membuka ruang kepada keraguan, perpecahan serta menghakis keyakinan penyokong terhadap kemampuan PN menghadapi pilihan raya.

“Jika keadaan ini tidak diperbetulkan dengan segera, PN tidak perlu menunggu hari pengundian untuk mengalami kekalahan kerana proses itu sedang berlaku secara perlahan-lahan dari dalam.

“Rakyat tidak memerlukan kenyataan yang indah didengar. Mereka mahukan kepimpinan yang tegas, jelas dan berkesan. Kini tiba masanya kepimpinan tertinggi PN membuktikan kemampuan mereka melalui tindakan, bukan sekadar dakwaan,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast