KUALA LUMPUR – Pelarian Rohingya diingatkan tidak membuat keputusan sesuka hati sebaliknya mematuhi undang- undang sedia ada di negara ini, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menjelaskan, sebarang pelanggaran undang-undang akan menyebabkan masyarakat etnik Myanmar itu berdepan tindakan tegas.
Pada masa sama, beliau menasihati rakyat tempatan yang berdepan pelbagai isu dengan pelarian Rohingya mengambil kira nilai-nilai kemanusiaan.
“Tetapi nasihat kepada rakyat Myanmar khusus Rohingya, dia juga harus patuh kepada peraturan yang ada dalam negara kita.
“Bangunannya, perniagaannya mesti mengikut peraturan dan kalau tidak ikut, kita terpaksa ambil tindakan.
“Tapi saya harap dalam semangat itu semua, sementara undang-undang dihormati, kita akan tegas hal ini,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Hidayah Sentul di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar turut memberitahu kerajaan akan berbincang dengan kerajaan negeri membabitkan isu bangunan yang dibina pelarian Rohingya itu di negara ini.
Jelas beliau, ia kerana melibatkan isu pembandaran dan kerajaan negeri juga harus mengambil tindakan tegas.
“Dan tadi pun dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kita bincang Menteri Kementerian Dalam Negeri pun ada dan kita tetap bertindak kalau ada pelanggaran.
“Tetapi saya harap rakyat kita, terutama masyarakat Islam yang berdepan isu ini harus jaga kemanusiaan kita.
“Dan janganlah melanggar peraturan undang-undang dalam menangani masalah,” katanya.
Anwar juga menyifatkan pelarian Rohingya di negara ini sebagai isu kemanusiaan meskipun orang ramai boleh menggesa mereka dihantar pulang.
“Pulang ke mana sebab kita ada masalah dengan Kerajaan Myanmar yang menghalang.
“Dalam rundingan saya dua kali dengan pimpinan Myanmar, saya minta dua perkara.
“Pertama bantuan yang kita beri itu dapat manfaat kepada semua, kedua hentikan penindasan dan jenayah ke atas rakyat Myanmar Islam dan di Myanmar keseluruhan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, petisyen penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya dari Malaysia atau penempatan semula mereka di negara ketiga meraih lebih 195,000 tandatangan, setakat Khamis lalu.
Petisyen yang dilancarkan akaun ‘Aku Anak Malaysia’ pada 29 Mei lalu itu turut menyasarkan sejuta sokongan, selain menuntut pihak berkuasa mencari penyelesaian alternatif bagi menangani kebanjiran pelarian etnik berkenaan.
Penganjur mendakwa, peningkatan jumlah etnik itu memberi tekanan terhadap sumber, infrastruktur dan perkhidmatan sosial negara. – MalaysiaGazette
















