Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meninjau pengoperasian Loji Sisa Ke Tenaga (WTE) sebuah projek transformasi pengurusan sisa dan pembangunan tenaga lestari negara ketika di Jeram, Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 12 JUN 2026.

KUALA SELANGOR – Selangor melakar sejarah baharu dalam pengurusan sisa pepejal apabila Loji Sisa-ke-Tenaga 1 (WTE1) di Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu (ISWMC), Jeram memulakan operasi komersial, sekali gus menjadi antara projek tenaga mampan terbesar di negara ini.

Loji yang dibangunkan sepenuhnya oleh Worldwide Holdings Berhad (WHB), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu mampu memproses sehingga 1,500 tan sisa pepejal setiap hari dan menjana 26 megawatt (MW) tenaga elektrik.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembukaan WTE1 merupakan satu titik perubahan penting dalam usaha mentransformasikan sistem pengurusan sisa pepejal negeri itu.

“Ini bukan sekadar projek infrastruktur, tetapi simbol komitmen Selangor dalam meneroka teknologi moden dan penyelesaian mampan bagi memenuhi keperluan negeri yang semakin berkembang,” katanya ketika berucap merasmikan loji berkenaan, di sini, hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melakukan gimik perasmian dengan memotong riben pada majlis pembukaan Operasi Loji Sisa Ke Tenaga (WTE) sebuah projek transformasi pengurusan sisa dan pembangunan tenaga lestari negara ketika di Jeram, Kuala Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 12 JUN 2026.

Menurut beliau, tenaga yang dijana WTE1 mampu membekalkan elektrik kepada kira-kira 26,000 isi rumah, selain mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah konvensional.

“WTE1 mampu menjana sehingga 26 megawatt (MW) tenaga elektrik, mencukupi untuk membekalkan tenaga kepada sekurang-kurangnya 26,000 isi rumah, bergantung kepada corak penggunaan elektrik masing-masing,” katanya.

Selain itu, Amirudin berkata, kemudahan WTE Jeram dijangka muncul sebagai yang terbesar di Malaysia apabila Loji Sisa-ke-Tenaga 2 (WTE2) siap dibangunkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Apabila WTE2 siap kelak, kemudahan Sisa-ke-Tenaga Jeram akan menjadi yang terbesar di negara ini dan berupaya menjadi model pengurusan sisa moden untuk Malaysia,” katanya.

Selain Jeram, katanya, Selangor turut membangunkan kemudahan Sisa-ke-Tenaga Tanjung Dua Belas yang bakal melengkapkan ekosistem pengurusan sisa bersepadu negeri.

“Apabila projek WTE2 dan kemudahan Sisa-ke-Tenaga Tanjung Dua Belas siap sepenuhnya, kapasiti keseluruhan akan meningkat kepada 5,500 tan sisa sehari dengan penjanaan tenaga sekitar 90MW,” katanya.

Menurut Amirudin lagi, inisiatif tersebut selari dengan agenda peralihan tenaga negara dan sasaran campuran tenaga nasional 70:30 menjelang 2050.

“Ini adalah pelaburan jangka panjang yang bukan sahaja menyelesaikan isu pengurusan sisa, malah menyumbang kepada keselamatan tenaga dan kelestarian alam sekitar.

“Pembangunan infrastruktur hijau seperti WTE membuktikan komitmen Selangor untuk menjadi negeri yang progresif, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast