Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud mendedahkan sikap Bersatu yang enggan menerima kemasukan parti lain ke dalam Perikatan Nasional (PN) menyebabkan Pas tidak boleh bersama dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Sebaliknya jelas beliau, Pas sebenarnya berhasrat membina satu keluarga besar yang kuat bagi penyatuan ummah namun ia dihalang oleh Bersatu.

“Apabila ada orang nak datang rumah kita, Bersatu halang dan sebab itu kita bercerai. Tindakan yang Pas buat adalah betul.

“Kita mahu jalinkan kerjasama dengan parti politik dalam PN. Kita mahu ia terbuka untuk semua parti sama ada yang mempunyai ramai penyokong atau tidak.

“Dengan cara itu sahaja kita boleh menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen RESET yang dirasmikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Yang turut hadir, pengasas Gerakan RESET, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

Pada majlis sama, Hamzah turut mengumumkan parti baharu yang ditubuhkannya baru-baru ini akan dikenali sebagai Parti Wawasan Negara (Wawasan).

Mengulas lanjut, Mohd. Nassuruddin menyifatkan keputusan parti itu memutuskan kerjasama dengan Bersatu kerana parti itu kini diambang perpecahan.

“Daripada 25 Ahli Parlimen mereka ada, enam dipecat dan sembilan lagi digantung. Kini hanya tinggal enam sahaja Ahli Parlimen mereka.

“Kalau sebuah rumah yang mempunyai 25 batang tiang, namun 19 batang sudah dibuang, agak-agak apa jadi dengan rumah berkenaan walaupun struktur atas masih kukuh. Sudah tentu rumah itu akan roboh.

“Saya sendiri tidak faham dengan Bersatu, ‘anak mereka’ pun dia pukul, ‘anak kita’ Pas pun dia pukul apabila Menteri Besar Perlis dibuang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast