KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheng menyatakan kesediaannya untuk disiasat pada bila-bila masa sekiranya didapati menyebarkan kandungan berunsur fitnah atau hasutan.
Malah, beliau turut mencabar pihak berkuasa supaya segera memanggil dan mendakwanya di mahkamah jika terdapat bukti kukuh terhadap sebarang kesalahan yang dilakukan.
Menurut beliau, proses menentukan seseorang itu bersalah atau tidak perlu diserahkan kepada mahkamah dan bukannya diputuskan oleh mana-mana individu, termasuk ahli politik atau pengguna media sosial.
“Saya menekankan yang ini paling penting. Jika saya menyebarkan kandungan yang berunsur fitnah ataupun berbaur hasutan, siasat.
“Panggil nombor telefon saya 24 jam. Panggil dan siasat. Jika terbukti salah, tangkap dan tuduh saya ke mahkamah. Biar hakim yang menentukan sama ada saya salah atau benar,” katanya kepada media selepas mengadakan Himpunan Gegar TikTok, di Ibu Pejabat TikTok di Cheras, di sini hari ini.
Himpunan berkenaan yang berlangsung selama dua jam bermula pukul 10 pagi dihadiri lebih 100 individu yang masing-masing merupakan pempengaruh media sosial.
Rata-rata yang turut serta dalam himpunan berkenaan meluahkan rasa tidak puas hati susulan laman sosial mereka didakwa disekat oleh pihak TikTok atas dakwaan arahan pihak tertentu.
Dalam pada itu, Albert Tei yang juga merupakan penganjur himpunan berkenaan memaklumkan, beliau menyambut cabaran Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali untuk berdebat secara terbuka sebagaimana yang ditawarkan kepadanya pada Khamis lepas.
Katanya, beliau akan hadir pada sebarang sesi atau platform yang sesuai bagi menjelaskan kepada umum berkenan pendiriannya dan yang lebih penting menyahut cabaran Mohd Hisyamuddin itu.
“Saya menyambut baik dan saya bersedia untuk berdebat. Sila maklumkan kepada saya segera di mana tempat untuk debat. Tarikh, masa dan siapa hosnya.
“Mungkin ada tempat yang sesuai melalui media seperti MG (MalaysiaGazette), The Star atau Berita Harian serta hos yang sesuai,” selorohnya.
Albert Tei turut menegaskan bahawa, prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang perlu dihormati, dengan setiap dakwaan terhadap mana-mana individu disiasat secara telus sebelum dibawa ke muka pengadilan.
Pada Khamis lalu, Mohd Hisyamuddin dikejutkan dengan kehadiran Albert Tei pada sidang media yang di adakan di perkarangan Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya.
Terdahulu, beliau membuat laporan polis terhadap Albert Tei yang merupakan seorang ahli perniagaan kerana sering membuat kacau ganggu pada setiap minggu di Kementerian Komunikasi di Putrajaya dengan dakwaan telah menggangu ketenteraman penjawat awam yang bertugas di kementerian itu.
Albert Tei bertindak demikian kerana mendakwa beberapa akaun media sosialnya yang digunakan bagi mewakili suara rakyat terhadap sesuatu isu dan mendapat puluhan ribu pengikut telah disekat tanpa diberkan sebarang notis. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:-
















