Ketua Penerangan AMK Johor, Omar Mokhtar bercakap pada sidang media Jelajah Johor Bangkit, Kluo Ngundi sempena PRN Johor di Pejabat PKR, Petaling Jaya. Foto FAREEZ FADZIL, 11 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Apakah Parti Bersama Malaysia (Bersama) ditubuhkan semata-mata menawarkan masa depan yang lebih baik atau sekadar menjadi parti untuk individu kecewa terhadap parti lama mereka?

Setiausaha Angkatan Muda HARAPAN (AMH), Omar Mokhtar A. Manap berkata, persoalan itu perlu dijawab oleh Bersama bagi menjelaskan hala tuju sebenar parti itu kepada umum.

Menurut beliau, kemunculan parti politik baharu bukan sesuatu yang luar biasa dalam landskap politik negara, namun kejayaannya bergantung kepada idea dan tawaran yang dibawa, bukannya sentimen terhadap parti terdahulu.

“Bagi Pakatan Harapan pula, fokus kami bukan menyerang mana-mana parti baharu. Fokus kami adalah memperkukuh prestasi kerajaan, melaksanakan reformasi institusi yang telah dijanjikan, mencari jalan untuk meringankan kos sara hidup yang ditanggung rakyat dan membuktikan kepada rakyat bahawa kestabilan politik boleh diterjemahkan kepada kemajuan ekonomi serta kesejahteraan rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Omar Mokhtar A Manap berkata, akhirnya rakyat akan memilih berdasarkan siapa yang menawarkan harapan, bukannya siapa yang paling banyak menyimpan kemarahan seolah-olah hanya dia sahaja yang tahu buat kerja, tanpa dia semua perkara tidak betul.

“Dalam sejarah politik, banyak parti lahir daripada pepecahan. Ada yang berjaya kerana membawa idea besar, ada yang gagal kerana terlalu terikat dengan dendam dan nostalgia,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi berkata, rakyat Johor harus memastikan ‘virus’ parti Kancil tidak mula merebak di Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi berkata, ia penting bagi menyekat ‘virus’ parti yang diterajui Datuk Seri Rafizi Ramli itu daripada terus tersebar ke seluruh negara menjelang PRU yang akan datang.

Sebelum ini, Rafizi bersama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan parti mereka akan bertanding pada PRN Johor yang dijangka menjadi medan pertama menguji sokongan terhadap parti kancil selepas penubuhannya.

Kerusi yang disebut-sebut berpotensi menjadi sasaran Bersama antaranya Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang yang mempunyai komposisi pengundi majoriti bukan Melayu, selain DUN Larkin yang sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat UMNO. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast