KUANTAN – Kelab Polo Diraja Pahang (Royal Pahang Polo Club – RPPC) melancarkan sambutan ulang tahun ke-100 penubuhannya menerusi acara khas yang berlangsung di ruang legar utama East Coast Mall (ECM), Kuantan petang semalam.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah bersama Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah berkata, dua kejohanan berprestij iaitu Royal Pahang Classic Centenary Cup dan Tengku Ampuan Patron’s Cup bakal menjadi acara kemuncak sempena sambutan satu abad penubuhan kelab itu.
“Insyaallah dalam tempoh 20 hari sambutan itu akan meriah bukan sahaja di Pekan, tapi juga di Kuantan. Ramai juga komuniti dari luar negara, pemain-pemain (sukan Polo) dari luar negara dan pasukan dari luar negara juga ada.
“Kita akan ada sekitar lapan sehingga 10 pasukan untuk satu pertandingan sempena 100 tahun tu. Sambutan ini secara tak langsung dapat diraikan bersama rakyat kerana jika tanpa rakyat, sambutan ni tiada ‘roh’,” katanya kepada media.

Difahamkan, selepas acara Centenary RPPC di ECM, program akan diteruskan di Pesta Kuantan 188 dari 31 Julai hingga 2 Ogos 2026, diikuti Pameran Centenary di Museum of Contemporary Art (MOCA), di sini sepanjang bulan Ogos nanti.
Perlawanan peringkat awal kejohanan centenary pula akan bermula pada 7 September depan di gelanggang RPPC, Pekan.
Manakala, kemuncak sambutan akan berlangsung pada 25 dan 26 September 2026 yang akan menampilkan dua perlawanan utama iaitu Royal Pahang Classic Centenary Cup dan Tengku Ampuan Patrons Cup.
Sementara itu, melangkah ke abad seterusnya penubuhan RPPC, Tengku Amir berkata, legasi permainan sukan Polo itu diharap dapat diteruskan oleh generasi seterusnya.

“Sudah empat generasi yang meneruskan legasi iaitu daripada almarhum Sultan Abu Bakar kepada Sultan Ahmad Shah. Generasi ketiga adalah paduka ayahanda iaitu Al-Sultan Abdullah dan generasi keempat adalah adinda Tengku Mahkota dan secara tak langsung saya dan adinda-adinda lain juga lah untuk generasi keempat.
“Harap-harap anakanda saya atau anakanda-anakanda yang akan datang daripada paduka adinda berminat untuk bersukan dan bermain untuk menyambung kita punya legasi permainan polo ni.
“Selain itu, sudah tentu agar mengembangkan lagi sukan polo khasnya di Pekan, Pahang dan seterusnya Malaysia. Kerana sehingga kini, ramai pemain-pemain daripada Malaysia sendiri juga daripada Pahang,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette
















