Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Konvensyen RESET Malaysia yang diadakan buat pertama kali mendapat sambutan luar biasa apabila hampir 20,000 penyokong dari seluruh negara membanjiri Kota Harmoni di Tanah Merah, Kelantan hari ini.

Tuan rumah konvensyen, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, konvensyen sulung itu melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menghimpunkan penyokong daripada pelbagai latar belakang dalam satu program.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah memberitahu, jumlah besar tersebut membuktikan rakyat masih mahu melihat usaha penyatuan yang mampu membawa kestabilan dan masa depan lebih baik kepada negara.

“Kami hadir bukan untuk bermusuh dengan sesiapa dan bukan juga untuk menyerang mana-mana pihak.

“Sebaliknya, kami berkumpul di sini bagi mengorak langkah ke arah penyatuan umat serta memperkukuhkan kesatuan orang Melayu dan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen RESET itu yang dirasmikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Yang turut hadir, pengasas Gerakan RESET Malaysia, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Pada majlis sama, Hamzah turut mengumumkan parti baharu yang ditubuhkannya baru-baru ini akan dikenali sebagai Parti Wawasan Negara (Wawasan).

Ikmal Hisham menambah, usaha penyatuan orang Melayu tidak bermaksud mengenepikan kaum lain, sebaliknya bertujuan memastikan Malaysia terus kekal harmoni melalui semangat saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Kami mahu memastikan negara ini terus aman dan harmoni. Pada masa sama, hubungan antara kaum perlu terus diperkukuhkan berasaskan rasa hormat dan persefahaman,” katanya.

Ikmal Hisham turut menyifatkan kehadiran Abdul Hadi sebagai satu penghormatan besar kepada semua penyokong.
Menurutnya, Ahli Parlimen Marang berkenaan merupakan tokoh yang dihormati bukan sahaja sebagai seorang ulama, malah sebagai pemimpin politik yang berjaya membawa Pas mencapai pelbagai kejayaan sehingga menjadi antara parti paling berpengaruh di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast