Foto: Media sosial KPDN Kelantan

TUMPAT – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merekodkan 521 kes penguatkuasaan melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan lebih RM2.67 juta bagi tempoh 1 Jan hingga 13 Jun tahun ini.

Pengarah KPDN Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata dalam tempoh itu, 100 individu ditahan manakala 302 kes dikenakan kompaun berjumlah RM211,950 hasil operasi penguatkuasaan di seluruh negeri.

Beliau berkata kes tertinggi direkodkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan 237 kes, diikuti Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (134 kes) serta Akta Timbang dan Sukat 1972 (132 kes).

“Selain itu, 13 kes direkodkan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Cap Dagangan (4 kes) dan  Akta Perihal Dagangan 2011 (satu kes),” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan di Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Beliau berkata KPDN Kota Bharu merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 269 kes dan rampasan bernilai RM1.94 juta, diikuti Pasir Mas dengan 84 kes serta rampasan RM654,322.

Beliau berkata sepanjang 2025, KPDN Kelantan merekodkan 1,379 kes dengan nilai rampasan RM4.77 juta, manakala 224 individu ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Hanif Yusabra berkata Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dilaksanakan sejak 16 Mac lepas merekodkan 104 kes dan 53 tangkapan hasil 4,223 pemeriksaan dengan jumlah rampasan RM1.99 juta.

Beliau berkata diesel merupakan barang kawalan paling banyak disita iaitu 17,309.40 liter membabitkan 26 kes, diikuti petrol sebanyak 15,127.50 liter melibatkan 53 kes.

“Kes terbaharu dikesan kira-kira 7 pagi tadi apabila seorang lelaki berusia 43 tahun dipercayai melakukan pembelian berulang membabitkan 120 liter petrol bernilai RM446.60 di sebuah stesen minyak di Tumpat.

“Siasatan mendapati suspek dan pemilik stesen masing-masing mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kegiatan tersebut. Pemandu terbabit disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala pemilik stesen disiasat kerana melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Mengenai Ops Kesan 6.0 yang berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Ogos ini, Hanif Yusabra berkata sebanyak 25 premis telah diperiksa melibatkan 85 unit penyimpanan stok, selain 29 aduan berkaitan peniaga ayam disiasat dan 60 tindakan undang-undang diambil setakat ini. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast