KUALA LUMPUR – Pemandu lori dalam video tular di media sosial kerana memandu secara berbahaya dan menunjukkan isyarat lucah di Lebuhraya Kajang Silk menghala ke Bandar Baru Bangi, diberkas.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof berkata suspek berusia 35 tahun itu ditangkap pada jam 8.45 malam.
Katanya, tangkapan dibuat susulan daripada laporan polis yang diterima pihaknya pada 7.15 malam, hari yang sama.
“Siasatan dijalankan di Bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana kesalahan memandu kenderaan di jalan awam secara gopoh, cuai atau melulu sehingga merbahayakan orang lain,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, jika disabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam masa yang sama katanya, suspek juga boleh dihukum penjara lima tahu lagi kerana berniat mengaibkan kehormatan seseorang dan membuat isyarat lucah.
“Pihak polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar mengamalkan sikap bertimbang rasa, mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu secara berhemah demi keselamatan bersama,” jelasnya. -MalaysiaGazette
















