JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) tidak akan mengambil pendekatan menyerang sesiapa atau mana-mana parti politik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada agenda rakyat dan menawarkan dasar yang lebih baik kepada pengundi dalam PRN Johor.
“Jentera parti di semua peringkat telah diingatkan supaya memberi fokus kepada usaha menyantuni rakyat dan memahami keperluan mereka, berbanding menyerang mana-mana individu atau parti politik.
“Kita tidak mengambil pendekatan untuk menyerang sesiapa atau mana-mana parti politik. Saya telah memberitahu jentera parti di peringkat nasional, Johor dan negeri-negeri lain yang akan menghadapi pilihan raya supaya mengambil pendekatan yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, di sini hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merangkap Menteri Besar Johor.
Zahid berkata demikian ketika ditanya mengenai pendekatan sesetengah parti politik yang menggunakan kaedah menyerang individu dan parti lawan sepanjang kempen pilihan raya.
Beliau yang juga Presiden UMNO mahu jentera menyantuni isu-isu rakyat dan menawarkan agenda yang lebih baik.
“Seboleh mungkin kita tidak menyerang mana-mana pihak. Jika diserang, kita akan menjawab, tetapi bukan untuk menyerang mana-mana pihak,” katanya.
PRN Johor ke-16 dijangka berlangsung pada 11 Julai ini, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun manakala pengundian awal pada 7 Julai.- MalaysiaGazette
















