KUALA LUMPUR – Pertikaian berhubung kepimpinan dalam Persatuan Kriket Malaysia (MCA) disifatkan perlu dinoktahkan segera bagi membolehkan badan induk itu bergerak tanpa sebarang gangguan daripada pihak yang tidak lagi memegang jawatan.
Perkara itu susulan pengiktirafan terhadap keputusan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan dan pemilihan MCA pada 27 April lalu oleh dua bekas ahli exco persatuan berkenaan yang sebelum ini terlibat dalam pertikaian tersebut.
Berdasarkan penghakiman di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan pada 24 Oktober tahun lalu, Mahnorizal Mahat dan Ahmad Salman Othman bersetuju menerima keputusan pemilihan berkenaan sekali gus menamatkan pertelingkahan mereka dengan MCA.
Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada barisan exco MCA ketika era kepimpinan Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali selaku Presiden yang meletakkan jawatan pada 13 April tahun lalu sebelum menarik semula keputusan tersebut.
Susulan perkembangan itu, seorang pemimpin MCA bertindak membawa isu berkenaan ke mahkamah bagi memastikan bekas kepimpinan terbabit tidak lagi menggunakan jawatan sebagai ahli exco persatuan berkenaan.
Seorang ahli jawatankuasa MCA yang enggan dikenali berkata, sudah tiba masanya pertikaian melibatkan bekas kepimpinan badan induk itu dimuktamadkan demi kepentingan pembangunan sukan kriket negara.
“Sudah tiba masanya pertikaian antara persatuan dengan bekas exco sebelum ini dimuktamadkan agar persatuan dapat bergerak bebas tanpa ada sebarang gangguan lagi daripada kepimpinan terdahulu.
“Kita mahu merancang pembangunan sukan ini, tapi ada pihak yang sedang berusaha menganggu kerana inginkan jawatannya kembali.
“Sedangkan sudah jelas mereka yang meletakkan jawatan dan ada yang tewas dalam pemilihan,” katanya kepada Malaysia Gazette.
Menurut sumber berkenaan, tindakan Mahnorizal dan Ahmad menyelesaikan pertikaian secara baik wajar dijadikan contoh bahawa segala proses yang dilaksanakan persatuan adalah berpandukan peraturan yang telah ditetapkan.
Untuk rekod, prosiding kes berkenaan yang bermula pada Oktober tahun lalu telah beberapa kali ditangguhkan, iaitu daripada 17 April lalu kepada 18 Jun ini, kemudian ke 29 Jun dan terbaru dijadualkan berlangsung pada 17 Julai depan.
Saman tersebut difailkan oleh seorang pemimpin MCA yang mewakili persatuan berkenaan terhadap Mohammed Iqbal serta sebahagian bekas barisan Exconya berhubung pertikaian jawatan dalam badan induk itu. – MalaysiaGazette
















