Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka ruang kepada pemilik tanah, pemaju dan pihak berkepentingan untuk mengemukakan cadangan perubahan terhadap Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang telah diwartakan selaras dengan keperluan semasa pembangunan bandar serta cabaran ekonomi global yang semakin dinamik.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, PTKL2040 merupakan dokumen statutori yang menterjemahkan hala tuju strategik Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) kepada perancangan spatial bandar melalui penetapan zon guna tanah, intensiti pembangunan dan parameter kawalan pembangunan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menurut beliau, dokumen berkenaan telah diwartakan pada 28 Mei 2025 dan mula berkuat kuasa pada 11 Jun 2025 sebagai rujukan utama dalam menggalakkan serta mengawal pembangunan bandar secara terancang dan mampan.

“Pelaksanaan perubahan terhadap pelan tempatan yang telah diwartakan merupakan satu langkah dinamik bagi memastikan penyelarasan dasar semasa serta menangani cabaran pembangunan bandar yang sentiasa berubah.

“Ia juga membolehkan semakan semula zon guna tanah, intensiti pembangunan dan parameter kawalan pembangunan dilaksanakan secara sistematik sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, peruntukan Seksyen 17(1) Akta 267 membenarkan Datuk Bandar pada bila-bila masa mencadangkan perubahan, penambahan, semakan, pemansuhan atau penggantian keseluruhan atau sebahagian daripada pelan tempatan yang telah diwartakan.

Sehubungan itu, mana-mana pemunya tanah berdaftar, pemaju atau pihak awam yang berhasrat mengemukakan cadangan perubahan terhadap penetapan PTKL2040 diminta mengemukakan Surat Niat (Letter of Intent) kepada Jabatan Perancangan Bandaraya (JPRB), DBKL dengan kadar segera.

Surat Niat tersebut perlu disertakan dengan justifikasi perubahan, pelan lokasi atau pelan tapak yang jelas serta dokumen hak milik tanah terkini bagi tapak yang terlibat.

Menurut DBKL, semua permohonan hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya pada 10 Julai 2026, sebelum jam 5 petang.

“Pemohon yang terlibat akan dimaklumkan mengenai keperluan melantik Perancang Bandar Berdaftar bagi menyediakan Laporan Cadangan Perubahan Pelan Tempatan (LCPPT) berdasarkan Manual LCPPT Kuala Lumpur mengikut skop permohonan yang dikemukakan,” katanya.

Manual berkenaan boleh dimuat turun melalui portal Pelan Pembangunan Kuala Lumpur bermula 15 Jun 2026.

Dalam perkembangan sama, DBKL turut mengumumkan penambahbaikan dasar berkaitan insentif pembangunan semula menerusi pengenalan Garis Panduan Insentif Pelaksanaan Pembangunan Semula Kuala Lumpur yang baharu.

Garis panduan tersebut menggantikan serta memperkemaskan ketetapan yang sebelum ini terkandung dalam Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Kuala Lumpur (2021) dan Garis Panduan Pecahan Insentif Pembangunan Semula di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2023).

Menurut Fadlun, langkah itu dibuat bagi memastikan pelaksanaan pembangunan semula di Kuala Lumpur dapat dijalankan secara lebih teratur, jelas, komprehensif dan selari dengan trend pembangunan serta dasar perancangan bandar semasa.

Garis panduan baharu itu akan diterima pakai dan berkuat kuasa mulai 15 Jun 2026 serta boleh diakses melalui laman sesawang rasmi DBKL pada tarikh sama. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast