Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Malaysia sewajarnya mengikut cara Australia yang tegas dalam menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) memandangkan keadaan warga asing di Malaysia sudah bertambah buruk.

Apatah lagi, PATI yang ada di negara ini bukan sahaja begitu ramai tetapi mereka sangat biadap, kurang ajar, melakukan jenayah serta berani melanggar undang-undang Malaysia.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, di bawah undang-undang Australia, sesiapa sahaja yang datang menaiki bot tanpa izin diharamkan sama sekali dari menetap di Australia seumur hidup, walaupun mereka berstatus pelarian tulen.

“Jika sebuah kapal pelarian tiba di perairan Australia, pihak berkuasa Australia akan segera mengendalikan mereka dengan tegas dan pantas. Kapal tentera laut dan Australian Border Force (ABF) akan memintas kapal pelarian tersebut sebelum ia sempat mendarat di tanah besar Australia.

“Pihak berkuasa akan memeriksa keselamatan kapal, memberikan rawatan kecemasan jika ada yang sakit tenat, serta membekalkan makanan dan air,” dakwa beliau dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, dasar utama Australia adalah menghalang kapal pelarian daripada memasuki wilayah mereka dan jika kapal itu didapati masih selamat untuk belayar, pihak berkuasa Australia akan mengiringi atau mengarahkan kapal tersebut berpatah balik ke perairan antarabangsa.

Bahkan, sekiranya kapal tersebut sudah uzur, bocor, atau karam, pihak berkuasa Australia akan menyelamatkan penumpang atas dasar kemanusiaan.

Walaupun diselamatkan, pelarian tidak akan dibawa ke tanah besar Australia.

Sebaliknya, PATI  akan dipindahkan ke kapal penguat kuasa dan dihantar terus ke Pusat Pemprosesan Serantau di Pulau Nauru.

Di Nauru, dakwanya, status PATI sebagai pelarian akan diproses oleh pegawai imigresen dan kemudian ditempatkan di negara-negara yang telah menandatangani Konvensyen Pelarian 1951.

“Ringkasnya, pelarian yang datang dengan kapal tidak mempunyai peluang untuk menjejakkan kaki atau tinggal dalam komuniti Australia,” ujar Ibrahim lagi.

Oleh itu, tegas beliau, Malaysia boleh mengikut cara Australia kerana terbukti Australia berjaya menyekat PATI walaupun Australia sebuah negara besar dan kurang penduduk.

Menurutnya, dasar yang jelas dan pelaksanaan undang-undang yang tegas, cekap serta penguatkuasanya bebas rasuah.

“Malaysia juga, kata beliau, perlu menentapkan jumlah PATI yang boleh di terima masuk. Katakan setakat 200,000. Setelah lebih, yang lain akan di usir tanpa tolak ansur.

“Kenapa Thailand dan negara jiran yang lain tidak menjadi sasaran PATI? Sebabnya negara lain tegas dan tiada tolak ansur dengan PATI.

“Malaysia adalah syurga PATI kerana segala-galanya bocor akibat rasuah dan pemimpin-pemimpin serta pegawai-pegawai kerajaan ada yang tidak bertanggungjawab,” dakwa beliau.

Sepatutnya, kawalan ketat dan tegas di semua sempadan negara seperti yang dilakukan oleh Australia dan Eropah, tidak kira apa status PATI mesti disekat dan dihalau, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast