Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyampaikan perutusan pada Mesyuarat Agung Tahunan MKJR Malaysia Ke-62 serta mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada setiap MKJR negeri di Hotel Sama-Sama KLIA, Sepang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 Jun 2026.

SEPANG – Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Malaysia akan terus diperkukuhkan sebagai platform strategik di bawah Kementerian Pengangkutan bagi memperkasa usaha mengurangkan kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagi menyokong usaha tersebut, kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada setiap MKJR negeri.

“Ia bagi menampung keperluan operasi serta memperkukuh pelaksanaan program keselamatan jalan raya di peringkat negeri dan komuniti,” katanya ketika menyampaikan perutusan pada Mesyuarat Agung Tahunan MKJR Ke-62 di Hotel Sama-Sama KLIA, di sini hari ini.

Menurut Anthony, MKJR menunjukkan keupayaan untuk memainkan peranan lebih strategik dalam memperkukuhkan agenda keselamatan jalan raya negara menerusi pendekatan yang lebih proaktif dan berfokus kepada penyelesaian di lapangan.

“Saya mahu MKJR Malaysia diperkukuhkan lagi dari segi struktur dan keupayaan operasinya supaya mampu berperanan dengan lebih berkesan sebagai platform strategik di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

“Saya juga berharap kerjasama antara MKJR Malaysia dan MKJR negeri akan terus diperkasa dalam melaksanakan intervensi keselamatan jalan raya yang berimpak tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan yang dibawa MKJR kini berpaksikan konsep Sistem Selamat yang mengiktiraf bahawa kesilapan manusia tidak dapat dielak namun kesilapan tersebut tidak seharusnya menyebabkan kehilangan nyawa.

“Pelbagai pihak termasuk perancang dasar, penguat kuasa, pendidik, pengeluar kenderaan, jurutera jalan raya dan komuniti perlu bersama-sama membina persekitaran jalan raya yang lebih selamat untuk semua pengguna,” katanya.

Menurut Loke, MKJR kini sedang melaksanakan projek rintis Zon Sekolah Selamat di 14 sekolah di seluruh negara yang dijangka memberi manfaat kepada hampir 20,000 murid dan warga sekolah.

“Beberapa insiden kematian murid sekolah kebelakangan ini menunjukkan keperluan mendesak untuk menambah baik pengurusan kelajuan dan infrastruktur jalan di kawasan sekolah,” katanya.

Katanya, secara purata hampir 70 kemalangan dilaporkan berlaku di kawasan sekolah setiap tahun.

“Intervensi yang dilaksanakan memberi fokus kepada pengurangan had laju melalui penambahbaikan infrastruktur seperti lintasan pejalan kaki bertingkat, penyempitan jalan, pembinaan laluan pejalan kaki serta pembangunan pulau perlindungan.

“Perubahan tingkah laku pengguna jalan raya perlu didorong melalui infrastruktur yang mampu menguatkuasakan pematuhan secara semula jadi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, MKJR turut memperkenalkan Program My Safe Road yang memfokuskan penyelesaian isu keselamatan jalan raya mengikut keperluan setempat melalui kerjasama pelbagai agensi di peringkat daerah.

“Pendekatan itu membolehkan masalah dikenal pasti secara lebih terperinci sebelum intervensi yang sesuai dilaksanakan dan dipantau keberkesanannya.

“Program tersebut kini sedang dilaksanakan di Nilai dengan memberi tumpuan kepada pengurangan kelajuan, penambahbaikan infrastruktur serta perubahan tingkah laku pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau turut mengumumkan pelaksanaan Program Fellowship Kepimpinan Keselamatan Jalan Raya dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia sebagai usaha melahirkan pemimpin muda yang mampu menerajui perubahan dalam bidang keselamatan jalan raya.

“Ia adalah pelaburan jangka panjang bagi memperkukuh kerjasama antara agensi dan membudayakan pendekatan Sistem Selamat dalam organisasi masing-masing,” katanya.

Bagi memperkasakan penggunaan data dalam perancangan dasar, Anthony berkata, MKJR akan menerajui pembangunan Indeks Keselamatan Jalan Raya di lokasi-lokasi yang dikenal pasti berisiko tinggi.

“Indeks tersebut akan mengukur tahap pematuhan undang-undang serta perubahan tingkah laku pengguna jalan raya secara berkala.

“Ia sekali gus membolehkan keputusan dibuat berdasarkan data dan bukan hanya bergantung kepada statistik kematian semata-mata,” katanya.

Mengulas situasi semasa keselamatan jalan raya negara, beliau berkata, Malaysia masih berdepan cabaran besar apabila lebih 6,600 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang 2025.

“Dari jumlah itu, 66 peratus melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal, manakala golongan belia berusia antara 16 hingga 30 tahun kekal sebagai kumpulan paling berisiko dengan purata 35 peratus kematian setiap tahun.

“Walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk mewajibkan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) bagi motosikal baharu 150cc ke atas, penguatkuasaan lebih tegas terhadap kenderaan berat, program MyLesenB2 Sekolah, Ops Selamat dan audit keselamatan kenderaan perdagangan.

“Kita masih jauh daripada mencapai sasaran pengurangan 50 peratus kematian jalan raya menjelang 2030. Keselamatan jalan raya bukan tanggungjawab pengguna semata-mata.

“Ia adalah tanggungjawab bersama memerlukan penglibatan kerajaan, sektor swasta dan masyarakat secara menyeluruh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast