KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini bersiap siaga untuk untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Negeri Sembilan yang bakal berlangsung pada bulan Julai dan Ogos ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya komited memastikan proses PRN akan berjalan dengan teratur dan lancar.
“Di Johor, saya difahamkan memerlukan bantuan tenaga kerja daripada PDRM lebih kurang 4,000 ke 5,000 orang kerana negeri itu besar dengan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan.
“Jadi kita menjaga semua tempat-tempat undian saluran-saluran yang telah ditetapkan dan polis akan bantu sebaik mungkin supaya ia berjalan dengan baik dan sempurna,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Perangi Scam: Dua Pasukan Satu Matlamat, di sini hari ini.
Tambah beliau, di Negeri Sembilan juga akan melangsungkan PRN dan memerlukan tenaga kerja serta pegawai polis dari seluruh negara bagi membantu yang akan bergantung kepada permintaan ketua polis negeri berkenaan.
Pada 12 Jun lalu, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, bagi PRN Johor, hari penamaan calon ditetapkan pada 27 Jun ini, manakala hari mengundi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai.
Bagi PRN Negeri Sembilan, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai manakala hari mengundi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos.
Selain itu, SPR melantik seramai 56 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 187 Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan proses PRU Dewan Negeri Johor Ke-16.
Bagi menjalankan proses PRU Dewan Negeri Negeri Sembilan Ke-16 pula, SPR melantik 8 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 95 Penolong Pegawai Pengurus.
PRU Dewan Negeri Johor Ke-16 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM86.8 juta, manakala PRU Dewan Negeri Negeri Sembilan Ke-16 dianggarkan memerlukan RM80.6 juta. – MalaysiaGazette
















