Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelabur asing meneruskan aktiviti jualan bersih untuk minggu kelima berturut-turut, dengan merekodkan aliran keluar bersih berjumlah RM658.3 juta.

MBSB Research berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih pada kesemua lima hari dagangan sepanjang minggu tersebut dengan aliran keluar terbesar direkodkan pada Selasa sebanyak RM230.2 juta, diikuti Isnin (RM177.4 juta), Rabu (RM133.9 juta), Jumaat (RM78.4 juta) dan Khamis (RM38.3 juta).

Tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk bersih tertinggi daripada institusi asing ialah teknologi (RM132.3 juta), perladangan (RM41.4 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM36.7 juta).

Sebaliknya, tiga sektor yang merekodkan aliran keluar bersih terbesar daripada institusi asing ialah perkhidmatan kewangan (-RM479.1 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (-RM112.8 juta) serta penjagaan kesihatan (-RM62.4 juta).

Firma penyelidikan ini berkata, pelabur institusi tempatan pula meneruskan trend belian bersih untuk minggu kesembilan berturut-turut, dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM459.1 juta.

Dalam masa yang sama, pelabur runcit melanjutkan belian bersih untuk minggu kelima berturut-turut, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM199.1 juta.

Purata volum dagangan harian (ADTV) menunjukkan penurunan secara menyeluruh dalam kalangan semua kategori pelabur, iaitu pelabur runcit susut 23.0 peratus, institusi tempatan turun 20.5 peratus, manakala institusi asing mencatatkan penurunan terbesar sebanyak 37.4 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast