MUAR – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berlepas ke Kazan, Rusia untuk menghadiri mesyuarat dengan Presiden Rusia Vladimir Putin dan ketua-ketua negara ASEAN.
Menurut Perdana Menteri, antara perkara utama yang dibangkitkan dalam pertemuan tersebut adalah usaha memastikan jaminan penyaluran bekalan minyak dan diesel dari Rusia ke Malaysia.
“Ini untuk membincangkan, antara lain, memastikan bekalan minyak dan gas yang stabil ke Malaysia dalam keadaan ketidaktentuan global yang semakin meningkat.
“Perbincangan dengan Presiden Rusia akan menghasilkan jaminan mengenai bekalan minyak dan diesel yang berterusan ke negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap dalam Majlis Hi-Tea bersama Nelayan, Petani dan Penduduk di Pantai Leka, Parit Jawa di sini hari ini.
Anwar berkata, kerajaan mengambil langkah proaktif untuk melindungi keperluan tenaga negara memandangkan ketegangan geopolitik terus menjejaskan pasaran global.
Beliau merujuk kepada konflik yang melibatkan Iran, Amerika Syarikat dan Israel, memberi amaran bahawa sebarang gangguan perkapalan melalui Selat Hormuz boleh membawa kesan serius kepada bekalan dan harga minyak global.
Anwar menambah, ada menerima maklumat daripada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif yang menunjukkan usaha sedang dijalankan untuk menamatkan konflik dan penyelesaian boleh dicapai seawal Jumaat ini.
“Sekiranya Selat Hormuz ditutup, kesannya akan dirasai di seluruh dunia termasuk di Malaysia, melalui harga minyak yang lebih tinggi,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan memantau dengan teliti perkembangan di rantau itu.
Perdana Menteri berkata, Malaysia kekal bernasib baik kerana mempunyai antara harga bahan api terendah di dunia dengan petrol RON95 terus mendapat subsidi yang besar.
Beliau menambah, beberapa negara sudah pun menghadapi masalah kekurangan bahan api dan penutupan stesen minyak kerana kekangan bekalan.
Anwar juga mendedahkan Malaysia sedang meneruskan kerjasama dengan Turkmenistan untuk mendapatkan bekalan gas jangka panjang melalui Petronas sambil menambah langkah itu akan membantu menjamin keselamatan tenaga untuk generasi akan datang sambil memastikan harga yang lebih kompetitif.- MalaysiaGazette
















