Dr Syed Agil Alsagoff.

KUALA LUMPUR – Pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM) menimbulkan kebimbangan mengenai pendekatan terlalu konservatif yang boleh menjejaskan matlamat badan itu untuk menjadi suara bebas industri media.

Penganalisis, Dr Syed Agil Alsagoff bimbang cara Nallini mengendalikan MMM kelak mungkin terlalu berteraskan pendekatan tradisional sedangkan badan itu memerlukan kepimpinan yang lebih terbuka dan memahami cabaran semasa industri media.

Menurutnya, MMM seharusnya diterajui individu yang bukan sahaja mempunyai integriti tinggi, malah arif mengenai landskap kewartawanan dan kepentingan pengamal media.

“Saya bimbang cara dia conduct Majlis Media Malaysia terlalu konservatif sedangkan Majlis Media Malaysia seharusnya lebih terbuka, arif dalam dunia industri media dan peka terhadap kepentingan industri dan umum,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berpandangan, badan kawal selia kendiri itu memerlukan kepimpinan yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pesat industri media termasuk perkembangan platform digital dan isu kebebasan media.

Katanya, pemahaman mendalam terhadap operasi organisasi media serta realiti yang dihadapi wartawan dan syarikat media amat penting bagi memastikan MMM dapat berfungsi secara berkesan.

Terdahulu, media melaporkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM) sekali gus menerajui badan kawal selia kendiri industri media negara yang ditubuhkan di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025.

Dalam kenyataan hari ini, MMM memaklumkan pelantikan Nallini dipersetujui sebulat suara oleh Ahli-Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia dalam mesyuarat yang diadakan pada 26 Mei lepas.

Majlis itu menyifatkan pelantikan berkenaan sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh peranannya sebagai badan kawal selia kendiri yang bebas, berwibawa dan berteraskan kepentingan awam bagi industri media. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast