BATU PAHAT — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membuktikan keupayaan logistik dan pengurusannya apabila berjaya menganjurkan Pertandingan Busking Challenge MAKUM 2026 Peringkat Kebangsaan yang melabuhkan tirainya di Dataran Astaka Shahbandar, di sini, semalam.

Program selama tiga hari bermula 12 Jun itu dianjurkan oleh Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti UTHM bersama Kelab Warisan UTHM, dengan kerjasama strategik Tourism Batu Pahat dan Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM).

Pertandingan ini berjaya menghimpunkan persaingan sengit daripada 17 kumpulan busking yang mewakili 14 buah universiti awam (UA) seluruh negara.

Majlis perasmian penutupan program telah disempurnakan bersama oleh Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti) UTHM, Prof. Dr. Nik Hisyamuddin Muhd Nor; Pengerusi Toursim Batu Pahat dan Qairy Maheran.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Qairy Herman, Pengerusi TOURISM BP; Dr. Anuar Mohd Salleh, Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti; Effendy Abd Kadir Timbalan , Timbalan Pengerusi TOURISM BP, Rosdi Abdullah, Ketua Bahagian Kebudayaan, Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti, serta pegawai-pegawai MAKUM dari pelbagai Universiti. 

Sebanyak 13 anugerah telah disampaikan pada malam penutupan sebagai pengiktirafan kepada pasukan dan individu yang telah mempamerkan persembahan terbaik sepanjang pertandingan.

Keputusan rasmi menyaksikan Kumpulan Engmucs dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dinobatkan sebagai Juara keseluruhan. Naib Juara disandang oleh Kumpulan De Mahameru dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), manakala tempat ketiga menjadi milik kumpulan tuan rumah, Kumpulan The Onn’z (UTHM).

Tempat keempat dan kelima masing-masing dimenangi oleh Kumpulan Kugiran Akustik UIAM dan Kumpulan Akustika Band IIUM.

Pihak pengurusan universiti menzahirkan ucapan tahniah kepada Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti UTHM atas kejayaan penganjuran berskala kebangsaan ini, selain keberhasilan merangkul tempat ketiga serta dua anugerah khas utama melalui Kumpulan The Been.

Berikut adalah keputusan penuh bagi kategori khas yang dipertandingkan:

– Anugerah Khas Juri: Kumpulan Solace (UUM)

– Anugerah Persembahan Terbaik: Kumpulan Akustika Band IIUM (UIAM)

– Anugerah Vokal Terbaik: Kumpulan Solace (UUM)

– Anugerah Penaja (Gubahan Lagu Terbaik): Kumpulan The Been (UTHM) – Magis Negaraku

– Anugerah Gitar Terbaik: Kumpulan The Been (UTHM)

– Anugerah Cajon Terbaik: Kumpulan Engmucs (UniMAP)

– Anugerah Bass Terbaik: Kumpulan Engmucs (UniMAP)

– Anugerah Instrumen Terbaik (Akordian): Kumpulan Tralala Band B (UM)

Kolaborasi penganjuran ini bukan sahaja berjaya menyediakan platform ekspresi seni muzik jalanan yang sihat dalam kalangan mahasiswa UA, malah secara langsung membantu merancakkan aktiviti pelancongan domestik dan promosi kebudayaan tempatan di Negeri Johor dan daerah Batu Pahat.

-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast