Di sebalik keinginan untuk kelihatan mampu, tersembunyi realiti yang membimbangkan iaitu keterhutangan melampau. Keterhutangan ini boleh bermula daripada keputusan kecil seperti membeli barangan tidak perlu, menggunakan bayaran ansuran digital atau berhutang demi menjaga imej.
Jika tidak dikawal, keputusan kecil ini boleh menjadi beban besar sehingga membawa kepada masalah kewangan yang serius termasuk kebankrapan iaitu apabila individu tidak lagi mampu menjelaskan hutang atau memenuhi komitmen kewangan yang ditanggung.
Dalam konteks pengguna muda, isu ini bukan sekadar berpunca berbelanja melebihi pendapatan, tetapi turut berkait rapat dengan disiplin mengurus wang, kebijaksanaan membuat pilihan dan kemampuan membezakan antara keperluan dengan kehendak.
Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh 2022 hingga Januari 2026 menunjukkan seramai 3,481 individu berusia 20 hingga 34 tahun telah direkodkan sebagai bankrap dengan pelbagai sebab. Angka ini membuktikan bahawa masalah hutang boleh membelenggu golongan belia juga yang masih dalam fasa membina kehidupan.
Isu ini menjadi lebih membimbangkan apabila kaedah “Buy Now Pay Later” (BNPL) semakin dekat dengan pengguna muda. Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, golongan berumur 30 tahun ke bawah menyumbang kira-kira 40 peratus daripada semua transaksi BNPL di Malaysia. Walaupun memudahkan pembelian, penggunaan tanpa kawalan mendorong kepada perbelanjaan melebihi kemampuan.
Cabaran utama pengguna muda hari ini adalah kenaikan kos sara hidup dan juga tekanan gaya hidup digital. Media sosial menjadikan kehidupan orang lain kelihatan terlalu dekat, indah dan sempurna.
Paparan pempengaruh, rakan sebaya dan selebriti boleh mengubah inspirasi menjadi tekanan. Akhirnya, seseorang berbelanja bukan kerana perlu, tetapi kerana takut kelihatan ketinggalan.
Kegagalan mengurus kewangan sedikit demi sedikit mampu mencetuskan tekanan emosi, konflik keluarga, hilang keyakinan diri dan kesukaran merancang masa depan. Lebih serius, kebankrapan boleh menjejaskan peluang memiliki rumah, membina kerjaya, memulakan perniagaan dan menikmati kehidupan yang lebih tenang.
Sebagai mahasiswa, saya melihat isu ini sangat dekat dengan realiti golongan muda. Ramai anak muda mempunyai cita-cita yang baik, iaitu bekerjaya, membantu keluarga dan membina kehidupan yang lebih selesa.
Pada pandangan saya, anak muda perlu kembali menghayati nilai qanaah, iaitu berasa cukup, bersyukur dan tidak memaksa diri hidup di luar kemampuan. Dalam dunia yang sentiasa mengajak manusia membandingkan diri, qanaah menjadi benteng agar anak muda tidak mudah hanyut dengan gaya hidup palsu di media sosial.
Golongan belia perlu matang dalam kewangan dengan mengawal kehendak, menilai kemampuan diri dan tidak mudah tunduk kepada desakan trend semasa. Lebih baik hidup sederhana tetapi tenang, daripada tampak mewah tetapi dibelenggu hutang.
Pandangan ini selari dengan pemerhatian Pensyarah Pembangunan Belia, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Mursyid Arshad yang melihat Generasi Z sebagai generasi yang lebih analitis, iaitu cenderung menilai, membandingkan dan mencari sesuatu yang dianggap terbaik.
Namun, kecenderungan ini boleh bertukar menjadi cabaran apabila ia dipengaruhi dengan budaya perbandingan sosial. Individu yang terlalu kerap melihat kehidupan orang lain di media sosial mudah terdorong untuk memiliki perkara yang sama walaupun di luar kemampuan.
Menurut beliau, masalah kewangan mula berlaku apabila kehendak mengatasi keperluan. Dalam keadaan ini, BNPL yang merupakan kemudahan membeli boleh berubah menjadi dorongan berbelanja dan peluang yang tidak patut dilepaskan.
Bagi membentuk belia yang lebih bijak mengurus kewangan, beliau menekankan kepentingan berbelanja mengikut keperluan yang perlu dinilai dengan jujur, sama ada benar-benar diperlukan atau sekadar keinginan sementara.
Selain itu, pengguna muda perlu memberi keutamaan kepada aset berbanding liabiliti. Komitmen seperti ansuran kenderaan mewah dan barangan ansuran bernilai tinggi perlu dipertimbangkan dengan lebih berhati-hati.
Bagi mereka yang baru bekerja atau baru membina keluarga, lebih wajar menyimpan, menyediakan dana kecemasan dan memilih instrumen pelaburan yang sah sebelum menambah beban kewangan.
Dari perspektif Islam, pengurusan wang juga perlu berpaksikan keberkatan. Golongan muda perlu membiasakan diri untuk bersedekah, termasuk membantu ibu bapa mengikut kemampuan, kerana amalan ini bukan sahaja mendidik jiwa agar tidak terlalu terikat pada harta, tetapi juga membuka jalan kepada pahala, ketenangan hidup dan murah rezeki.
Jadi, isu kebankrapan dalam kalangan pengguna muda berpunca daripada kegagalan mengawal kehendak, tekanan gaya hidup digital, dan penggunaan kemudahan kewangan tanpa pertimbangan.
Dalam dunia yang sering menyanjung kemewahan, anak muda perlu bijak membezakan antara keperluan dengan kehendak serta menjadikan qanaah sebagai panduan hidup. Setiap ringgit yang diurus dengan berhemah mampu menjadi asas kepada masa depan yang lebih tenang, ibarat ukur baju dibadan sendiri.
Oleh,
Nur Farahanim Rusli
Pelajar Pelatih, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar
Universiti Putra Malaysia
-MalaysiaGazette
















