Bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berucap pada Taklimat Halatuju dan Reset Politik di Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 14 FEBRUARI 2026. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Gerakan RESET menyatakan kesediaan untuk menubuhkan jentera Parti Wawasan Negara (Wawasan) di Tambun sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Sekretariat Gerakan RESET, Muhammad Fadhli Ismail berkata, dengan dukungan bakal Presiden Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, beliau akan mengambil tanggungjawab menubuhkan jentera parti itu di Tambun sekiranya kawasan berkenaan dipilih sebagai medan perjuangan politik pada PRU16.

Menurutnya, Tambun perlu dilihat sebagai salah satu medan penting dalam usaha membawa suara perubahan serta mencabar dominasi Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin atas penubuhan Parti Wawasan Negara (Wawasan).

“Penubuhan Wawasan perlu dilihat dalam konteks demokrasi sebagai satu perkembangan politik baharu yang lahir daripada perbezaan pandangan, aspirasi dan hala tuju perjuangan,” katanya dalam kenyataan sambil menyeru semua pihak menghentikan serangan sesama sendiri dan menumpukan usaha mencabar PH.

Beliau berkata, kehadiran mana-mana parti baharu tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kemampuan membawa perubahan kepada rakyat.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir penyokong dan cybertrooper Bersatu yang didakwa menyerang serta menghina Pas dan beberapa pimpinan parti itu di media sosial selepas pengumuman dan perasmian Wawasan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Katanya, di Perak terdapat beberapa kenyataan daripada individu yang dikaitkan dengan Bersatu yang dilihat cuba meletakkan kesalahan terhadap Pas berhubung perkembangan politik semasa.

“Wawasan bukan sekadar isu serpihan parti, sebaliknya ia adalah keputusan politik yang dibuat oleh individu yang sebelum ini berada dalam Bersatu berdasarkan pertimbangan terhadap perjuangan dan arah tuju politik mereka,” ujarnya.

Fadhli berkata, perubahan dalam landskap politik adalah perkara biasa, namun semua pihak perlu menguruskan perbezaan pendapat secara matang tanpa merosakkan hubungan antara parti yang mempunyai matlamat perjuangan yang sama.

Beliau turut mengingatkan bahawa, Abdul Hadi merupakan tokoh politik yang mempunyai pengalaman luas dan dihormati ramai.

Justeru katanya, sebarang kritikan terhadap Presiden Pas itu perlu dibuat secara beradab serta berasaskan hujah.

Dalam pada itu, beliau menyeru Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan kepimpinan Bersatu supaya melihat isu berkenaan dalam konteks yang lebih besar.

Katanya, jika Ahmad Faizal sebelum ini menyatakan kesediaan berdepan Anwar di Parlimen Tambun, maka Wawasan juga bersedia untuk berdepan dalam gelanggang politik yang sama menerusi Agenda Gerakan RESET yang membawa Matlamat Konsensus Nasional Baharu sebagai wadah penyatuan ummah.

“Tumpuan sebenar perlu diberikan kepada kelemahan kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukannya dihabiskan untuk menyerang rakan politik sendiri.

“Perbezaan pandangan sesama pihak pembangkang tidak seharusnya menyebabkan kita hilang fokus terhadap matlamat yang lebih besar kerana konflik dalaman hanya akan menguntungkan pihak lawan,” katanya.

Beliau berkata, tenaga cybertrooper dan kekuatan akar umbi seharusnya dimanfaatkan untuk memperjuangkan isu rakyat serta membina keyakinan masyarakat terhadap perubahan politik.

Tambah beliau, rakyat kini mahukan politik yang lebih matang, berasaskan visi dan penyelesaian, bukannya politik yang hanya tertumpu kepada pertelingkahan sesama sendiri.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak yang membawa agenda perubahan supaya kembali kepada matlamat asal iaitu memperkukuhkan suara rakyat, memperkasakan perpaduan ummah dan membina kekuatan politik yang mampu membawa Malaysia ke arah yang lebih baik. – MalaysiaGasette

 

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast