Jais Abdul Karim SPRM kad pengenalan MCW peguam negara kebocoran data peribadi
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Projek rintis penubuhan Kadet SPRM yang diumumkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman wajar disambut baik kerana ia langkah penting menyemai budaya membenci rasuah dalam kalangan generasi muda.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, usaha memupuk nilai antirasuah perlu dimulakan sejak usia muda kerana pendidikan merupakan benteng paling berkesan dalam membentuk masyarakat berintegriti.

Menurut beliau, rasuah bukan sekadar isu penguatkuasaan undang-undang, sebaliknya merupakan cabaran nilai dan budaya yang perlu ditangani menerusi pendidikan secara berterusan.

“Penubuhan Kadet SPRM di sekolah berpotensi menjadi platform penting untuk melahirkan generasi muda yang memahami nilai amanah, integriti, akauntabiliti dan tanggungjawab sebagai warganegara.

“Program ini juga mampu memupuk keberanian untuk menolak rasuah serta meningkatkan kesedaran bahawa rasuah merupakan musuh utama pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menghargai pendekatan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang memulakan projek tersebut secara kecil-kecilan dan berperingkat bagi membolehkan keberkesanan modul, silibus serta kaedah pelaksanaannya dinilai terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

Dalam pada itu, MCW berharap pelaksanaan Kadet SPRM dapat melibatkan kerjasama erat antara SPRM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

Jelasnya, kerjasama pelbagai pihak penting bagi memastikan program tersebut berkembang sebagai satu gerakan nasional dalam membudayakan integriti.

Sebagai NGO yang memperjuangkan agenda antirasuah sejak 2017, MCW turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan SPRM dalam aspek pendidikan, latihan kepimpinan, dialog integriti serta pembangunan modul kesedaran antirasuah khusus untuk golongan muda.

“MCW percaya membentuk seorang pelajar yang membenci rasuah hari ini jauh lebih berkesan dan murah berbanding menyiasat seorang penjawat awam atau pemimpin yang terlibat dengan rasuah pada masa hadapan.

“Masa depan Malaysia yang bebas rasuah bergantung kepada sejauh mana kita berjaya membentuk generasi muda yang menjadikan integriti sebagai cara hidup,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast