Kakitangan Perkhidmatan Taman Negara Amerika Syarikat (National Park Service) memasang pagar di sekitar Kolam Pantulan Memorial Lincoln (Lincoln Memorial Reflecting Pool) di Washington, D.C., pada 16 Jun 2026, selepas kerja-kerja pengubahsuaian selesai baru-baru ini. foto AFP

WASHINGTON – Projek pembinaan dewan tari baharu di White House yang diilhamkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dilaporkan menelan kos sehingga AS$600 juta (kira-kira RM2.8 bilion), dengan lebih separuh daripada jumlah itu dibiayai menggunakan wang pembayar cukai.

Menurut laporan The Washington Post, kos projek itu jauh lebih tinggi berbanding anggaran awal Trump sebanyak AS$400 juta, selain bercanggah dengan dakwaannya sebelum ini bahawa pembiayaan akan ditanggung oleh penderma swasta termasuk dirinya sendiri.

Laporan itu memetik dokumen anggaran kos terperinci yang disediakan oleh syarikat pembinaan Clark Construction, kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan projek tersebut.

Projek berkenaan bermula tahun lalu apabila Trump merobohkan keseluruhan East Wing di White House tanpa notis panjang dan tanpa mendapatkan kelulusan Kongres.

Bagaimanapun, White House menegaskan, sebahagian besar kos pembinaan masih ditanggung oleh Trump dan para penderma.

Jurucakap White House, Davis Ingle berkata, Trump bersama “patriot Amerika yang murah hati” membiayai pembinaan dewan itu dengan nilai kira-kira AS$400 juta.

Menurutnya, kemudahan itu akan menjadi lokasi yang lebih selamat dan sesuai untuk kegunaan presiden pada masa hadapan.

Beliau turut mendakwa satu rancangan serangan terhadap White House ketika acara sukan tempur yang dihadiri Trump dan beberapa pegawai kanan hujung minggu lalu membuktikan keperluan mendesak projek pemodenan East Wing bagi penganjuran acara berskala besar.

Ingle berkata, projek dewan tari itu berkait rapat dengan aspek keselamatan presiden, termasuk pembinaan kemudahan seperti hab pendaratan dron di atas bumbung dan hospital di ruang bawah tanah, sebagaimana diumumkan oleh Trump.

Pada penghujung Mac lalu, Trump sekali lagi menegaskan kepada media bahawa projek berkenaan menelan kos sehingga AS$400 juta dan tidak melibatkan wang pembayar cukai.

Namun, menurut The Washington Post, ringkasan yang disediakan untuk White House pada bulan sama menganggarkan kos sebenar mencecah AS$600 juta, dengan hanya AS$293 juta dijangka diperoleh daripada sumber swasta.

Akhbar itu turut melaporkan ketika Trump membuat kenyataan tersebut, pentadbirannya telah meluluskan lebih 12 pembayaran menggunakan dana awam kepada Clark Construction yang berjumlah puluhan juta dolar.

Sebelum ini, Trump pernah menganggarkan kos pembinaan dewan tari itu hanya sekitar AS$200 juta.

Projek berkenaan menerima kritikan daripada pemimpin Parti Demokrat yang menyifatkan dewan tari mewah serta beberapa projek pengubahsuaian lain di Washington sebagai bukti Trump tidak memahami kesukaran kos sara hidup yang dihadapi rakyat biasa.

Dalam kalangan Republikan pula, terdapat kebimbangan isu kos sara hidup yang terus meningkat, khususnya kenaikan harga bahan api susulan konflik melibatkan Iran, boleh menjejaskan sokongan pengundi menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November.

Ketika melawat tapak pembinaan bulan lalu, Trump mempertahankan projek itu dengan menyifatkannya sebagai “hadiah kepada Amerika Syarikat”.

“Ini semua menggunakan wang saya dan wang penderma. Ia bebas daripada pembiayaan pembayar cukai,” katanya.

Sementara itu, syarikat pembinaan terbabit enggan mengulas lanjut dengan alasan butiran projek adalah sulit.

Projek tersebut turut berdepan tindakan undang-undang apabila seorang hakim pada Mac memerintahkan kerja-kerja pembinaan di atas tanah dihentikan sementara, namun keputusan itu kini ditangguhkan sementara menunggu rayuan.

Pentadbiran Trump juga berhujah keperluan membina dewan tersebut menjadi lebih mendesak selepas seorang lelaki bersenjata cuba menceroboh majlis makan malam gala media yang dihadiri presiden pada April lalu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast