Zambry Abd. Kadir bersama rombongan kunjungan hormat Duta Besar Palestin ke Malaysia, TYT Jehad Alqedra yang berlangsung di ibu negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi dengan Palestin termasuk meneruskan sokongan kepada pelajar dari negara itu dengan memperluas peluang kerjasama antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, perkara itu dibincangkan dalam kunjungan hormat Duta Besar Palestin ke Malaysia, Jehad Alqedra yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Menurut beliau, pertemuan tersebut turut memberi tumpuan kepada usaha mempererat hubungan pendidikan tinggi antara Malaysia dan Palestin sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan negara dalam membantu pembangunan rakyat Palestin.

“Malaysia sentiasa percaya bahawa pendidikan adalah jambatan harapan, keamanan dan masa depan.

“Atas semangat itu, kita akan terus memainkan peranan membantu rakyat Palestin membina semula kekuatan bangsa melalui ilmu dan pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry berkata, sokongan terhadap sektor pendidikan Palestin penting bagi memastikan generasi muda negara itu terus mendapat akses kepada peluang pembelajaran dan pembangunan modal insan berkualiti.

Beliau menegaskan, Malaysia kekal komited untuk menyokong rakyat Palestin melalui pelbagai inisiatif pendidikan serta kerjasama strategik antara universiti di kedua-dua negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast