Dr Zuhan Zain

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor tidak bersetuju kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa diserahkan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain menegaskan, pihaknya tidak pernah membuat sebarang keputusan atau persetujuan menyerahkan kerusi tersebut.

“Amanah Johor telah membuat persiapan awal dan menyusun gerak kerja jentera secara menyeluruh untuk mengambil semula dan mempertahankan kerusi DUN Puteri Wangsa yang sebelum ini dipinjamkan kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pada PRN Johor 2022 atas semangat kerjasama politik ketika itu.

“Amanah Johor mengambil maklum laporan media yang memetik kenyataan berhubung status kerusi tersebut. Namun, kami tidak pasti sama ada berlaku salah tafsir, kekeliruan atau penafsiran yang tidak tepat terhadap kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ketua Amanah Kawasan Kluang berkata, sehingga hari ini, Amanah Johor masih berpegang kepada semangat persahabatan dan kerjasama dalam Pakatan Harapan.

Justeru Amanah Johor memilih untuk menangani sebarang perbezaan pandangan melalui saluran rundingan dan perbincangan dalaman, bukan melalui polemik terbuka yang boleh menjejaskan hubungan antara parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

Amanah Johor berharap semua pihak dapat menjaga sentimen setiakawan dalam gabungan dan mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham atau ketegangan yang tidak perlu.

“Apa yang lebih penting adalah usaha bersama-sama untuk memperkukuhkan Pakatan Harapan dan menyantuni rakyat.

“Pada masa ini, seluruh jentera Amanah di Puteri Wangsa terus bergerak aktif di lapangan, mendekati masyarakat serta membawa pelbagai program kemasyarakatan demi memastikan kehadiran dan peranan Amanah terus dirasai oleh rakyat setempat,” ujarnya.

Amanah Johor menegaskan bahawa DUN Puteri Wangsa merupakan kerusi yang akan terus dipertahankan parti tersebut untuk PH dan sebarang keputusan berkaitan pembahagian kerusi akan dibincangkan mengikut proses rundingan yang dipersetujui dalam gabungan.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast