Mohd Puad Zarkashi

JOHOR BAHRU – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengisytiharkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, keputusan itu dibuat sejak setahun lalu dan hasrat berkenaan turut dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kira-kira dua minggu lalu.

Jelasnya, faktor usia menjadi pertimbangan utama apabila kini berusia 69 tahun dan berpendapat pemimpin lebih muda perlu diberi peluang untuk menerajui kepimpinan negeri.

“Kalau lima tahun lagi saya akan berumur 74 tahun. Pada saya tidak sesuai pada usia tersebut untuk terus bertanding di kerusi DUN.

“Onn Hafiz wajar diberi peluang memimpin barisan muda bertanding dan memimpin kerajaan negeri. Sepatutnya yang berusia 50 tahun ke bawah sahaja yang wajar bertanding di kerusi DUN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, cadangan mengenai calon pelapis bagi kerusi DUN Rengit sudah dikemukakan kepada kepimpinan parti untuk dipertimbangkan.

Katanya, calon yang bakal dipilih perlu mempunyai kelayakan, berakhlak, komited terhadap perjuangan serta memahami hala tuju bangsa dan aspirasi rakyat.

Mohd Puad turut menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan UMNO Johor akan membuat pertimbangan sewajarnya dalam menentukan calon terbaik untuk meneruskan khidmat kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata, masih terdapat beberapa urusan dan tugasan yang perlu diselesaikan sebelum hari penamaan calon.

“Selama lebih empat tahun saya menjadi wakil rakyat yang tinggal di kawasan. Saya mengenali hati nurani rakyat Rengit,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau merakamkan penghargaan kepada penduduk Rengit, penjawat awam, ketua-ketua kampung dan masyarakat Cina atas kerjasama yang diberikan sepanjang beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

Mohd Puad turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang memperkenankan pelantikannya sebagai Speaker DUN Johor serta kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas nasihat dan bimbingan dalam memastikan perjalanan sidang DUN Johor berlangsung dengan tertib dan lancar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast