Barisan kepimpinan KLSICCI 2026-2028 diterajui VKK Rajasekaran sebagai Presiden.

KUALA LUMPUR – Selepas diberi mandat menerajui Kuala Lumpur & Selangor Indian Chamber of Commerce and Industry (KLSICCI) bagi penggal 2026-2028, Presidennya yang baharu, VKK Rajasekaran bertekad mengembalikan semula pengaruh organisasi itu sebagai sebuah institusi perniagaan disegani dan relevan kepada generasi usahawan masa kini.

Berbekalkan pengalaman lebih 23 tahun bersama KLSICCI termasuk pernah menyandang jawatan timbalan presiden, Rajasekaran percaya dewan perdagangan yang bakal memasuki usia satu abad itu masih mempunyai potensi besar untuk kembali memainkan peranan lebih signifikan dalam landskap ekonomi negara.

Menurut beliau, KLSICCI pernah berada pada kedudukan cukup berpengaruh khususnya pada penghujung 1990-an dan awal 2000-an apabila dewan tersebut menjadi platform penting menghubungkan komuniti perniagaan India dengan pelbagai peluang ekonomi dan jaringan strategik.

Bagaimanapun katanya, landskap perniagaan hari ini jauh berbeza berbanding dua dekad lalu dan memerlukan pendekatan yang lebih dinamik, pantas serta berorientasikan hasil.

“Kos menjalankan perniagaan semakin meningkat, persaingan menjadi lebih sengit, pendigitalan bergerak pantas dan kehendak pengguna juga sentiasa berubah.

“Kalau dahulu jaringan hubungan mungkin sudah mencukupi, tetapi hari ini ahli memerlukan lebih daripada itu.

“Mereka memerlukan akses kepada peluang sebenar yang boleh membantu perniagaan mereka berkembang,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Atas sebab itu, Rajasekaran berkata, beliau membawa tema ‘From Legacy to Leverage’, iaitu usaha memanfaatkan sejarah, pengaruh dan jaringan luas KLSICCI untuk menghasilkan manfaat yang lebih besar kepada ahli.

Katanya, beliau mahu melihat KLSICCI beralih daripada sebuah organisasi yang hanya dikenali kerana legasinya kepada sebuah institusi mampu menghasilkan nilai yang boleh dirasai secara langsung oleh ahli.

“Kita tidak boleh bergantung kepada nama besar semata-mata.

“Legasi yang kita ada perlu diterjemahkan kepada peluang, sama ada dari segi pembiayaan, akses pasaran, kerjasama strategik ataupun pembangunan kapasiti usahawan.

“Itulah cabaran yang perlu kita laksanakan dalam tempoh dua tahun akan datang,” ujarnya.

VKK Rajasekaran

Rajasekaran berkata, tempoh pentadbiran kali ini juga cukup signifikan memandangkan KLSICCI bakal menyambut ulang tahun ke-100 penubuhannya pada 2028.

Menurutnya, detik bersejarah itu bukan sekadar mengenai sambutan ulang tahun, sebaliknya peluang untuk meletakkan semula KLSICCI pada kedudukan yang lebih kukuh dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Kita bukan sekadar mewarisi sebuah organisasi yang berusia hampir satu abad, tetapi memikul tanggungjawab untuk mempersiapkannya bagi 100 tahun yang seterusnya.

“Saya mahu apabila KLSICCI melangkah ke ulang tahun ke-100 nanti, ahli dapat melihat sebuah organisasi yang bukan sahaja mempunyai sejarah yang membanggakan, tetapi juga mampu mencipta impak yang besar kepada komuniti perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, antara fokus utama pentadbirannya adalah membantu golongan perusahaan mikro dan usahawan kecil yang sering berdepan kekangan untuk berkembang kerana keterbatasan sumber, maklumat dan akses kepada peluang.

Bagi tujuan itu, KLSICCI merancang mewujudkan sebuah pusat rujukan perniagaan yang akan membantu ahli mendapatkan maklumat berkaitan geran kerajaan, peluang pembiayaan, program pembangunan usahawan serta saluran sokongan yang bersesuaian.

“Banyak bantuan sebenarnya sudah tersedia, tetapi ramai usahawan tidak mengetahui saluran yang betul atau tidak tahu bagaimana untuk memulakan proses tersebut.

“Kalau maklumat ini dapat disusun dan dipermudahkan, ia akan memberi manfaat yang besar kepada komuniti perniagaan,” katanya.

Pada masa sama, Rajasekaran mahu memperkenalkan program mentor-mentee yang menghubungkan usahawan berpengalaman dengan perusahaan mikro serta generasi baharu usahawan bagi membolehkan pengalaman dan jaringan perniagaan dikongsi secara lebih tersusun.

Beliau turut merancang memperkukuhkan komunikasi antara KLSICCI dan ahli menerusi platform digital yang membolehkan maklumat berkaitan program, peluang pembiayaan dan aktiviti semasa disampaikan secara lebih teratur.

Katanya, langkah tersebut penting bagi mengubah persepsi bahawa ahli hanya dihubungi ketika musim pemilihan sebelum komunikasi kembali terputus selepas itu.

“Kita mahu ahli sentiasa berhubung dengan KLSICCI sepanjang tahun dan bukannya hanya pada waktu tertentu.

“Apabila komunikasi menjadi lebih konsisten, ahli akan lebih mudah mengikuti peluang yang disediakan dan terlibat secara aktif dalam organisasi ini,” jelasnya.

Rajasekaran pada masa sama menegaskan KLSICCI akan terus mengekalkan pendirian profesional dan berkecuali supaya organisasi itu dapat bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan komuniti perniagaan tanpa dipengaruhi mana-mana sentimen.

“Kita perlu menjadi suara yang membina kepada komuniti perniagaan. Jika ada dasar yang baik, kita akan menyokongnya dan jika ada perkara yang perlu diperbaiki, kita juga perlu menyatakannya secara profesional.

“Saya mahu KLSICCI kembali dikenali sebagai sebuah organisasi yang dihormati, dipercayai dan sentiasa berada di sisi ahlinya.

“Jika kita berjaya melakukannya, saya percaya masa depan KLSICCI akan menjadi lebih kukuh daripada apa yang pernah kita capai sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette

23 tahun bersama KLSICCI, Rajasekaran tawar diri rebut jawatan presiden

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast