Foto: FB Aznan Tamin

JOHOR BAHRU – Seramai 136 calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2025 di Johor berjaya mencapai keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, seorang daripada calon cemerlang itu memperoleh 5A manakala seramai 135 calon memperoleh 4A.

“Seramai 3,556 calon mendaftar menduduki STPM 2025 dengan pencapaian PNGK Johor sebanyak 2.94 mengatasi PNGK Kebangsaan iaitu 2.88.

“Lebih membanggakan, 96.63 peratus bersamaan 3,436 calon yang hadir berjaya melayakkan diri menerima Sijil STPM 2025.

“Malah seramai 136 calon berjaya mencapai keputusan cemerlang PNGK 4.00 termasuk seorang calon memperoleh 5A dan 135 calon memperoleh 4A,” katanya dalam Facebook miliknya.

Beliau berkata, calon yang mendapat lulus penuh dalam empat mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan daripada 77.91 peratus kepada 80.73 peratus.

Menurutnya, ia turut menjadi bukti komitmen tinggi pelajar, guru, ibu bapa serta seluruh warga pendidikan dalam memastikan kualiti pendidikan Johor terus diperkasakan.

Johor katanya, turut menerima dua pengiktirafan utama peringkat kebangsaan iaitu Pelajar Terbaik STPM 2025 bagi Aliran Sains dan Anugerah Kolej Tingkatan 6 Terbaik STPM 2025 Kebangsaan.

“Kepada anak-anak STPM 2025 yang mungkin belum mencapai keputusan seperti diharapkan, jangan berputus asa. Perjalanan masih panjang dan kejayaan hadir dalam pelbagai bentuk.

“Terus percaya kepada kemampuan diri kerana setiap usaha yang dilakukan hari ini adalah langkah menuju masa depan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Johor akan terus bersama-sama memperkukuh pendidikan demi memastikan setiap anak Johor diberi ruang dan peluang untuk mencapai impian masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast