SUBANG – Gangguan laluan komunikasi laut di Selat Hormuz menuntut Tentera Diraja Malaysia (TUDM) menjadi lebih peka dan bersedia mempertahankan kedaulatan negara.
Panglima Tentera Udara, Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata, Malaysia merupakan negara maritim yang amat bergantung kepada keselamatan laluan komunikasi laut, khususnya di Selat Melaka dan Laut China Selatan kerana ia merupakan nadi kepada perdagangan dan ekonomi negara.
“Gangguan terhadap laluan komunikasi laut di Selat Hormuz bukan sahaja menjejaskan bekalan tenaga dunia, malah turut memberi impak kepada ekonomi global, rantaian bekalan dan kestabilan pasaran antarabangsa, termasuk Malaysia,” katanya ketika berucap pada upacara Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ke-68 di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Menurut beliau, keupayaan untuk melindungi laluan komunikasi laut melalui kuasa udara menjadi faktor kritikal kepada keselamatan dan kelangsungan ekonomi sesebuah negara.
Sehubungan itu katanya, TUDM mesti terus berupaya menjadi perisai utama negara bagi memastikan kepentingan strategik, kestabilan dan kedaulatan negara terus terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman.
“Justeru, keupayaan kuasa udara dalam menjamin keselamatan ruang udara dan memperkukuh kesedaran domain maritim tidak boleh dilihat secara terpisah,” tambah Muhamad Norazlan.
Dalam pada itu, beliau berkata, TUDM kini memberi tumpuan kepada pelaksanaan Fasa Pertama Pelan CAP55 bagi memastikan pembangunan keupayaan sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi dan ancaman masa hadapan.
Katanya, sebanyak tiga bidang utama yang ditumpukan oleh TUDM bagi pembangunan dan kesiapsiagaan operasi.
Antaranya, ujar beliau, pengukuhan sistem pertahanan dan pemantauan ruang udara negara, keupayaan intelligence, surveillance and reconnaissance (ISR) serta pembangunan juruterbang pejuang masa hadapan.
“TUDM kini sedang membangunkan radar pertahanan udara di Bintulu, Bukit Peteri dan Bukit Lunchu, termasuk radar pemantauan udara di Pulau Layang-Layang bagi meningkatkan pengesanan awal dan menutup jurang pemantauan ruang udara negara terutama di kawasan strategik.
“Pengoperasian unmanned aerial system (UAS) ANKA-S dan persiapan pengoperasian pesawat maritime patrol aircraft (MPA) P-72M akan meningkatkan keupayaan TUDM dalam pengawasan, pengumpulan maklumat dan pemantauan kawasan kepentingan negara.
“Pembangunan juruterbang pejuang masa hadapan melalui program fighter lead-in trainer-light combat aircraft (FLIT-LCA) yang mana perolehan pesawat FA-50M akan memperkukuh ekosistem latihan dan pembangunan juruterbang pejuang generasi baharu,” katanya.
Selain itu tambahnya, kerjasama strategik dengan industri pertahanan tempatan akan terus diperkasa bagi meningkatkan keupayaan sustainment, mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar dan menyokong pembangunan industri pertahanan negara.
Muhamad Norazlan turut menegaskan TUDM tidak akan berkompromi dengan tahap integriti warganya dan tadbir urus yang baik.
“Saya ingin menegaskan bahawa “Perisai Negara” yang kita bina ini tidak boleh mempunyai retakan integriti. Kita akan terus mengambil tindakan tegas dan mengamalkan sifar toleransi terhadap sebarang bentuk salah laku, penyelewengan dan pelanggaran integriti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















