KUALA LUMPUR – Krisis antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini disifatkan memasuki fasa `perang gerila’, sekali gus mewujudkan kebarangkalian berkuburnya jenama Perikatan Nasional (PN).
Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, Pas ketika ini memiliki kelebihan sebagai Pengerusi dan Setiausaha Agung PN.
Malah, menurut beliau, Pas kini juga memiliki autoriti menandatangani watikah calon-calon pilihan raya PN.
Dalam masa sama, ujarnya, Bersatu pula adalah pihak pertama mendraf perlembagaan PN, sekali gus sangat memahami peruntukan-peruntukan di dalam perlembagaan tersebut.
Bersatu juga, tambahnya, memahami kuasa-kuasa Majlis Tertinggi dan Majis Presiden PN.
“Keputusan menyingkirkan Bersatu daripada PN, menerima Reset sebagai anggota PN, memuktamadkan senarai calon pilihan raya PN dan sebagainya, semuanya terpandu dalam perlembagaan PN.
“Sebarang proses dan keputusan yang disifat dan ditafsir sebagai pelanggaran terhadap perlembagaan PN akan dimanfaat sepenuhnya oleh Bersatu,” katanya menerusi Facebook.

Tambah Mohd Yusri yang juga Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik UMT, antara pilihan yang ada kepada Bersatu adalah membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Jika aduan berasas, katanya, ROS akan menjalankan siasatan, termasuk menggantung sementara PN.
Ujar beliau, sekiaranya lebih serius dan tiada jalan penyelesaian, situasi terburuk adalah PN boleh dibubarkan atau dibatalkan oleh ROS.
“Dalam kes ini nothing to lose kepada Bersatu.
“Jika mereka tidak boleh memiliki PN, mereka tidak akan biarkan PN jatuh ke tangan orang lain.
“Jika gagal mencapai situasi win-win, pilihan terbaik adalah lose-lose.
“Bagi Bersatu, situasi lose-win bukan pilihan,” katanya.
Semalam, episod perseteruan antara Pas dan Bersatu menghampiri kemuncaknya apabila dua pemimpin utama Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digugurkan daripada jawatan utama dalam PN.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rombakan berkuat kuasa serta-merta itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan PN. – MalaysiaGazette
















