Gambar hiasan

PERNAH tak terdetik dalam hati kita kenapa cuaca sekarang seperti tak menentu.

Walaupun masih pagi, panasnya membahang seolah-olah sudah cecah tengah hari, petang pula hujan lebat luar biasa bersekali ribut dan banjir kilat.

Apabila suhu sudah panas, pendingin hawa lebih kerap dan lebih lama dipasang. Hasilnya, hujung bulan apabila tengok bil elektrik, mulalah kita mengeluh panjang.

Hakikatnya, berita mengenai gelombang haba, banjir dan kemarau yang selalu melintas di media sosial bukan lagi asing. Isu perubahan iklim ini bukan lagi cerita akan datang, tetapi sedang berlaku sekarang, tepat di depan mata kita.

Sebab itulah, peralihan tenaga penting.

Konteksnya berkisar kehidupan seharian kita, macam mana elektrik di rumah dijana, macam mana urus penggunaan elektrik, sampailah jenis kereta yang kita pandu hari-hari.

Sebagai sebuah negara sedang membangun, Malaysia berada di persimpangan. Di satu sudut kita masih lagi bergantung harap kepada bahan api fosil seperti arang batu dan gas asli untuk pastikan lampu rumah menyala.

Di sebelah lagi, dunia mula bising mendesak supaya pelepasan karbon dikurangkan dan kesan alam sekitar semakin parah.

Lantas, persoalan sekarang bukan lagi berkisar sama ada perlukah kita berubah, tetapi lebih tepatnya ialah cepat atau lambat kita boleh buat.

Peralihan tenaga bukan bermaksud kita perlu tutup semua loji jana kuasa lama esok pagi.

Ia sebaliknya proses untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu seperti solar, hidro, dan sumber bersih lain.

Matlamatnya mudah, supaya anak cucu kita nanti boleh hidup dalam persekitaran lebih sihat dan selamat.

Sebenarnya, Malaysia sudah pun mula mengorak langkah. Di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) diterajui Datuk Seri Fadillah Yusof, pelbagai program hijau diperkenalkan untuk industri serta rakyat.

Antaranya program Feed-in Tariff (FiT) yang memberikan insentif kepada syarikat untuk menjana tenaga bersih dan menjualnya semula kepada grid nasional. Langkah ini berjaya menyuntik keyakinan pelabur terhadap industri hijau kita.

Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) pula paling dekat dengan kita. Kalau pasang panel solar di bumbung rumah atau kedai, tenaga lebihan boleh disalurkan semula ke grid elektrik. Hasilnya, impak penjimatan terhadap bil elektrik bulanan.

Bagi yang mahu menggunakan tenaga solar untuk kegunaan sendiri, Program Solar untuk Kegunaan Sendiri (SelCo) menyediakan laluan lebih fleksibel.

Inisiatif ini memberi ruang kepada pengguna menghasilkan tenaga sendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada bekalan elektrik daripada grid.

Kerajaan juga memperkenalkan SOLAR ATAP yang mempercepat pemasangan panel solar di bangunan dan premis bersesuaian.

Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu negara, malah membantu mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam sektor teknologi hijau yang sedang berkembang pesat.

Dalam masa sama, Projek Tenaga Bijak MADANI atau National Energy Efficiency Action Plan (NEEAP 2.0) menekankan aspek kecekapan tenaga.

Ini kerana tenaga paling murah dan paling bersih sebenarnya adalah tenaga yang tidak dibazirkan.

Penggunaan peralatan cekap tenaga, sistem pengurusan tenaga lebih baik serta amalan penggunaan elektrik berhemah mampu mengurangkan permintaan tenaga secara keseluruhan.

Apa yang menarik, agenda peralihan tenaga negara tidak lagi tertumpu kepada sektor penjanaan elektrik semata-mata.

Ia kini melibatkan perubahan gaya hidup masyarakat secara menyeluruh.

Satu daripadanya galakan penggunaan kenderaan elektrik (EV).

Jika dahulu ia dianggap teknologi mahal untuk golongan tertentu, namun hari ini semakin menjadi pilihan dengan semakin banyak kenderaan jenis ini berada di atas jalan raya Malaysia.

Dengan kos penyelenggaraan lebih rendah, tak ada asap ekzos dan stesen pengecas yang makin bertambah, beralih kepada EV dianggap pilihan sangat praktikal.

Memang tak dinafikan, cabaran paling besar apabila bercakap soal teknologi hijau adalah kos.

Ramai mengeluh pelaburan awal untuk memasang solar atau membeli EV agak keras dan membebankan poket.

Namun, jika diamati mendalam, kos untuk tidak berbuat apa-apa sebenarnya jauh lebih mahal daripada kos untuk berubah.

Bayangkan banjir yang semakin kerap, infrastruktur rosak akibat cuaca ekstrem, gangguan bekalan makanan serta peningkatan kos kesihatan akibat pencemaran udara.

Ini semua kos yang perlu dibayar jika usaha mengurangkan pelepasan karbon terus ditangguhkan.

Perlu diingat, peralihan tenaga bukan sekadar agenda kerajaan atau tanggungjawab industri berasaskan tenaga.

Ia agenda nasional yang memerlukan penglibatan semua pihak.

Setiap kali kita ambil keputusan untuk pasang solar, tutup lampu bilik yang tak digunakan, beli peti ais cekap tenaga atau pilih untuk guna pengangkutan awam, kita sebenarnya sedang menyumbang kepada perubahan besar dunia.

Malaysia cukup bertuah. Kita ada cahaya matahari yang melimpah-limpah sepanjang tahun, dasar kerajaan yang menyokong dan rakyat yang semakin peka.

Sekarang, kita cuma perlukan keberanian untuk bergerak lebih laju.

Dalam isu alam sekitar, masa menentukan sama ada kita bakal meninggalkan sebuah negara yang indah untuk generasi depan, atau sebuah bumi yang sudah rosak hanya kerana hari ini kita takut untuk berubah.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast